AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ekspo Usahawan Selangor mulai 6 Oktober, sasar 15,000 pengunjung

SHAH ALAM, 14 SEPT: Seramai 15,000 pengunjung dijangka menghadiri Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bulan depan.

Ekspo tiga hari dari 6 hingga 8 Oktober di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam itu turut menyediakan 200 reruai perniagaan dan pameran.

Program bagi membantu usahawan memperkenal dan mengembangkan produk turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya klinik usahawan Selangor, fiesta kopi, cabutan bertuah dan SELBIZ Run 2023.

Turut ditampilkan persembahan artis popular antaranya Tomok, Ernie Zakri, Amir Masdi, Floor 88 dan Ara Johari.

Penganjur juga mengalu-alukan usahawan makanan, minuman, fesyen, aksesori, peruncitan, perkhidmatan, kosmetik, teknologi, pakaian terpakai, dekorasi dan barangan bayi menyertainya.

SELBIZ edisi pertama yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 dan 4 September tahun lalu berjaya menarik penyertaan 149 pempamer serta 5,000 pengunjung.


Pengarang :