AGENDANASIONAL

Suami isteri maut selepas motosikal dinaiki rempuh belakang trak tentera

SUNGAI PETANI, 14 SEPT: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terlanggar bahagian belakang sebuah trak tentera di Kilometer 87 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Gurun, kira-kira pukul 2.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Ridzuan Salleh@Ramli, 41, yang merupakan seorang anggota tentera dan isterinya Rosmawati Ismail, 39.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli TNT yang sedang bergerak laju dari arah Alor Setar menghala ke arah Butterworth, telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang trak tentera.

Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan motosikal ditunggangi Ridzuan dan pembonceng, Rosmawati, terbakar di tengah laluan jalan, menyebabkan kecederaan parah kepada kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zaidy berkata, Ridzuan yang berasal dari Kampung Bukit Segantang Garam, Bujang, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat melecur dan kecederaan di bahagian badan.

“Manakala isterinya yang berasal dari Singkir, Bedong, yang mengalami kecederaan parah pada pelbagai bahagian badan, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini,” katanya.

Beliau berkata dua anggota tentera yang berada di dalam trak, pemandu yang berusia 28 tahun dan penumpang berumur 42 tahun tidak mengalami kecederaan.

Zaidy berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

– BERNAMA


Pengarang :