Sekumpulan mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Beijing Jiatong, menubuhkan kumpulan silat untuk mempamerkan keunikan seni silat kepada masyarakat negara Tembok Besar ketika dijemput membuat persembahan dalam pelbagai acara di Beijing, China. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Julang budaya bangsa, pelajar Malaysia mahu martabat silat di Beijing

BEIJING, 15 SEPT: Merantau jauh ke negara China tidak menghalang sekumpulan mahasiswa Malaysia menzahirkan semangat patriotik dan menjulang budaya bangsa di persada dunia.

Menyifatkan ia sebagai tanggungjawab generasi pelapis, barisan pemuda yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Beijing Jiatong, menubuhkan kumpulan silat untuk mempamerkan keunikan seni silat kepada masyarakat negara Tembok Besar itu ketika dijemput membuat persembahan dalam pelbagai acara di sini.

Penuntut jurusan kejuruteraan mekanikal Nik Mohammad Azri Nik Naharudin, 22, berkata beliau dan tujuh rakannya mahu memainkan peranan sebagai ejen dalam mempromosikan keunikan kepelbagaian budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

“Tak ramai pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran di Beijing dan kami merupakan kumpulan pertama tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam yang datang ke sini.

“Jika sebelum ini, ada kumpulan pelajar Malaysia berbangsa Cina yang sering mempersembahkan Tarian Singa, kami mahu memperkenalkan warisan Melayu pula dalam menunjukkan keunikan negara kita yang mempunyai pelbagai budaya dan bangsa,” katanya kepada Bernama di sini.

Selain Nik Muhammad Azri, tujuh rakannya yang menggalas iltizam sama ialah Mohd Nuruddin Syakirin Nordin, Johan Haiqal Hilman Roslan, Norizwan Aliff Mohd Nahar dan Che Wan Syahiran Amrin Che Wan Saupi, masing-masing berusia 22 tahun selain Muhammad Aqil Nor Zamani, Muhammad Aliff Aqma Amran Zaidy dan A. Thavirat Sukhphasin, masing-masing berusia 24 tahun.

Menurutnya walaupun tidak semua mempunyai asas dan latar belakang dalam seni mempertahankan diri, ia bukan penghalang untuk mereka menjayakan misi tersebut.

“Hanya dua orang (Mohd Nuruddin Syakirin dan Che Wan Syahiran Amrin) yang mempunyai asas dan latar belakang silat, kami yang lain banyak belajar daripada mereka berdua,” katanya yang mengambil masa kira-kira sebulan berlatih sebelum beraksi pertama kali pada jamuan Hari Raya Aidilfitri di kedutaan Malaysia pada April lepas.

Kumpulan itu yang turut membuat persembahan pada Festival Rasa Malaysia di sebuah pusat beli-belah di sini pada awal bulan ini turut berhasrat memperkenalkan pelbagai budaya lain seperti tarian zapin, joget dan alat muzik tradisional pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd Nuruddin Syakirin yang bertanggungjawab menjadi ‘guru silat’ mereka pula berhasrat mempelbagaikan lagi langkah pada persembahan seterusnya.

“Saya ada belajar beberapa jenis seni silat antaranya Gayung, Lian dan Cekak dan aktif ketika sekolah menengah. Apabila ke Beijing, saya lihat dengan mempersembahkan seni silat mampu mempromosikan Malaysia.

“Jadi, saya dan Che Wan Syahiran Amrin menggunakan asas yang pernah dipelajari bagi mengajar rakan-rakan di sini dan menubuhkan kumpulan silat di Beijing,” katanya yang mula mempelajari silat sejak berusia lapan tahun.

Katanya, mereka berpeluang mempersembahkan aksi silat di khalayak sebanyak empat kali di bumi Beijing sejak mula menuntut di negara tersebut pada Februari lepas.

Mohd Nuruddin Syakirin berkata platform dalam talian seperti video YouTube menjadi antara rujukan bagi membantu memantapkan persembahan memandangkan mereka berada di luar negara.

Anak kelahiran Pahang itu juga berharap berpeluang membuat persembahan lebih banyak acara di negara tersebut agar lebih ramai masyarakat tempatan mengenali budaya Malaysia khususnya kaum Melayu.

-BERNAMA


Pengarang :