Jemaah menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya susulan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Khutbah nasihati pengguna media jangan jadi ‘mufti alam maya’

SHAH ALAM, 15 SEPT: Pengguna media sosial dinasihati supaya tidak menjadi ‘mufti alam maya’ dengan mengeluarkan pendapat dalam urusan agama tanpa asas ilmu kukuh bagi mengelakkan umat keliru.

Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini, ramai seolah-olah berfatwa menerusi wadah berkenaan sekalipun mereka tidak memiliki ilmu dan kelayakan mencukupi.

“Lihat saja jika timbul isu baharu yang dibahas di media sosial, kita dapati seribu ‘mufti alam maya’ muncul memberi komen tanpa asas ilmu yang kukuh, seterusnya menyebabkan kekeliruan dan perbalahan,” kata teks itu.

Khutbah berkenaan juga menjelaskan ulama atau mufti tidak memberi pandangan dalam semua isu kerana mereka cukup berhati-hati dan sentiasa memikirkan kesannya kepada umat keseluruhan.

“Hal ini (amalan berhati-hati) tidak berlaku sama sekali kepada seseorang yang tiada ilmu, akan sentiasa mengeluarkan ‘fatwa segera’ terhadap semua isu.

“(Mereka) mendabik dada dengan pengetahuannya yang cetek walaupun pada perkara yang tidak memberi kebaikan kepada umat Islam,” menurut teks tersebut lagi.

Menurut khutbah itu lagi, pandangan hukum salah daripada orang jahil yang berlumba-lumba membuat fatwa memberi kesan kepada masyarakat lantaran mereka mendahului ilmu dan pemikiran.

Selasa lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Baginda bertitah fatwa yang dikeluarkan ahli politik boleh mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.


Pengarang :