AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ibu bapa M40 dipelawa mohon bantuan yuran daftar taska

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak 315 permohonan insentif Yuran Pendaftaran Taska (Pintas) diterima setakat hari ini, sejak ia dibuka pada 1 September lalu.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata 32 daripadanya didapati gagal kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

“Bagaimanapun, permohonan masih dibuka dan tiada tarikh tutup setakat ini dan kita akan buka sehingga sasaran kuota 5,000 penerima dipenuhi.

“Ibu bapa yang berpendapatan isi rumah antara RM5,001 hingga RM8,000 digalak memohon bantuan ini bagi mengurangkan beban menghantar anak ke taska,” katanya kepada Selangorkini.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan http://pintas.yawas.com.my dengan menyertakan beberapa dokumen dalam tempoh 21 hari selepas pendaftaran.

Dokumen perlu dimuat naik seperti berikut:

  • salinan sijil kelahiran anak
  • salinan kad pengenalan pemohon
  • salinan daftar pengundi
  • salinan penyata gaji terkini pemohon dan pasangan
  • salinan akaun bank
  • salinan surat akuan berkanun atau sijil anak angkat
  • salinan resit pembayaran yuran pendaftaran taska bagi kemasukan 2023

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan bantuan sekali bayar RM100 kepada ibu bapa yang memiliki anak berusia empat tahun ke bawah untuk kemasukan ke taska atau nurseri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif pendaftaran tahunan untuk golongan berpendapatan sederhana (M40) membabitkan dana keseluruhan RM500,000.


Pengarang :