Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat aktiviti yang dilakukan kanak-kanak istimewa selepas majlis prapelancaran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pusat intervensi ANIS akan diperluas ke seluruh negeri, tumpu luar bandar

SHAH ALAM, 16 SEPT: Pusat intervensi Anak Istimewa Selangor (ANIS) bakal diperluas ke seluruh Selangor pada masa depan, kata EXCO Kebajikan Masyarakat.

Anfaal Saari berkata perkara itu akan diusulkan dalam sidang dewan negeri dan berharap diluluskan untuk belanjawan tahun depan.

“Kita bercadang mahu bekerjasama dengan Universiti Selangor (Unisel) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk menggunakan premis mereka sebagai pusat intervensi.

“Tumpuan kita adalah mahu membuka banyak pusat intervensi di kawasan luar bandar bagi memudahkan ibu bapa bawa anak istimewa mereka membuat rawatan tanpa perlu ke bandar,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Kanak-kanak istimewa mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan sama, Anfaal berkata pihaknya juga akan memeterai persefahaman dengan beberapa agensi atau institusi yang menawarkan kursus berkaitan penjagaan kanak-kanak istimewa.

“Cabaran kita sekarang adalah mahu mencari tenaga pengajar atau juruterapi terlatih untuk mendidik anak-anak istimewa ini.

“Insya-Allah, menerusi kerjasama dengan beberapa agensi atau institusi kita akan kumpulkan tenaga pengajar mahir yang boleh membimbing anak-anak ini,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan besar bagi memberi khidmat sokongan dan program intervensi kepada anak-anak autisme di Selangor.

Antara inisiatif yang disediakan khusus untuk golongan itu adalah Bantuan Khas Pusat Prasekolah ANIS meliputi bantuan menampung kos rawatan dan pendidikan.

Inisiatif lain untuk anak autisme adalah penubuhan pusat ANIS yang menyediakan saringan dan intervensi.


Pengarang :