EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah melakukan gimik perasmian Pra Pelancaran Pengisytiharan Pewartaan Sate Kajang Sebagai Identiti Makanan Warisan di Avani Sepang Goldcoast, Sepang pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sate Kajang diwarta makanan warisan Selangor awal tahun hadapan

SEPANG, 16 SEPT: Sate Kajang bakal diwartakan sebagai makanan tradisi warisan Selangor menjelang awal tahun hadapan, kata EXCO Kebudayaan.

Borhan Aman Shah berkata usul pewartaannya akan dibawa Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh terdekat.

“Cadangan bagi mengangkat Sate Kajang telah bermula sejak penganjuran Konvensyen Identiti Negeri Selangor anjuran Padat pada 2011.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap ketika Pra Pelancaran Pengisytiharan Pewartaan Sate Kajang Sebagai Identiti Makanan Warisan di Avani Sepang Goldcoast, Sepang pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selepas diluluskan, kita akan anjur majlis besar-besaran bersama perdana menteri dan Dato’ Menteri Besar, dan mungkin akan diadakan di Kajang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu Borhan menghadiri majlis pra pengisytiharan Sate Kajang sebagai makanan warisan Selangor di Avani Sepang Goldcoast Resort di Pantai Bagan Lalang di sini, hari ini.

Borhan menambah, Sate Kajang dipilih sebagai makanan warisan Selangor berikutan juadah itu amat sinonim dengan bandar Kajang sejak 1917.

Jelasnya, usaha mewartakan Sate Kajang dilaksana Padat dimulakan dengan kajian membabitkan aspek sejarah, latar belakang, saiz, cara penyediaan dan sebagainya.

“Sate Kajang diasaskan oleh Haji Tasmin Satiban dan adiknya Haji Rono. Dahulu ia dijual secara berkandar dan dimakan bersama sup (kuah) dan nasi kepal atau ketupat,” katanya.


Pengarang :