AGENDAJENAYAH

Sindiket penyeludupan manusia tumpas, 51 pendatang ditahan

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan manusia dan menahan 51 pendatang tanpa izin dalam Op Gelombang V di Kota Bharu, Kelantan Rabu lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki dan empat wanita warga India, dua lelaki warga Pakistan, dua wanita serta empat kanak-kanak lelaki warga Thailand.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet yang dijadikan rumah transit pendatang tanpa izin oleh sindiket berkenaan pada 10.20 pagi itu, berusia lingkungan dua hingga 60 tahun.

“Turut ditahan lima lelaki tempatan yang disyaki ahli sindiket tersebut iaitu pemilik hotel, dua penjaga premis dan dua ‘transporter’ berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun.

“Kesemua pendatang tanpa izin itu kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah, manakala ahli sindiket direman enam hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama pejabat Jabatan Imigresen Kelantan itu turut merampas wang tunai RM5,300, 42 naskhah pasport India dan empat kenderaan pelbagai jenis yang disyaki digunakan membawa pendatang tanpa izin ke lokasi transit.

Menurutnya sindiket tersebut dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan menyasarkan pendatang tanpa izin dari India yang ingin memasuki negara ini untuk bekerja secara haram dan setiap individu yang diseludup dikenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup pendatang tanpa izin terutamanya warga India yang memasuki negara ini melalui negara jiran menggunakan laluan haram di sempadan.

“Pendatang tanpa izin ini, kemudian diangkut menggunakan kenderaan transporter tempatan dan dikumpulkan di lokasi transit sebelum dihantar ke lokasi tertentu,” katanya.

Ruslin berkata pihaknya akan membanteras habis-habisan sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Menurutnya tindakan tegas dikenakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan itu di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966, Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

– BERNAMA


Pengarang :