BUDAYARENCANA

Terplastik

Oleh Qurratul ‘Ain

Dia terdengar sayup-sayup, antara arus-sedar yang tercalar: ada dua wanita sedang mengasihani nasibnya. Dia merasakan perbualan tadi berakhir dengan keluhan dan anggukan. Dan percakapan memudar jauh, tercelup oleh jelaga udara. Darahnya sendiri yang terhidu. Pisau Swiss masih terasa hangat membelah dada kiri dan leher. Sakunya kempis, dia sudah agak; sempat beberapa keping ratus diseluk oleh dua lelaki keding dan selekeh. Itu sahaja dia mampu imbau. Sekarang, dia meringkuk di sini umpama kata-kata dalam litupan surat, enggan dibaca. Dia tidak pasti dia masih hidup kerana selembar plastik gergasi membataskan dia dan orang-orang di sekeliling. Tetapi dia masih boleh menelan liur kahak, merasa semut merangkak di dahi.

Plastik putih berbalar biru-biruan. Sangat nipis dan lirih. Dia menggigil tiba-tiba. Liang roma mengembang. Dia selalu dengar-dengar orang berkata, sebelum maut membuka tirainya, kita menonton lintas hidup sendiri. Pita memori berurai. Nipis plastik ini mengingatkannya kepada sebuah keputusan yang nipis; senipis tingkap biliknya. Ini peristiwa sedekad lalu: bagaimana dia terburu-buru membuat keputusan untuk berpindah ke negeri lain. Entah kenapa dia percaya pada khidmat gerabak berusia sembilan-puluh tahun yang terletak tidak jauh dari rumah. Demi mencari teduhan asing di benua yang lebih bersih ketimbang daerahnya, dia sanggup menjadi mendonan. Tanpa seucap bahasa dia kenal. Tanpa loghat dia mesra.

Betapa dia menderita selama berada di dalam gerabak kereta api yang uzur itu; terhimpit-himpit oleh beberapa orang sekampung yang sangat berbangga membawa identiti mendonan juga. Mengapa mereka ingin meniru pengorbanannya? Bukankah mereka sudah ada tanah pusaka? Bukan dia tak tahu ubi gendut dan berisi di belakang laman pusaka? Sedang dia yang dituduh kutu kampung. Dia tidak faham mengapa ramai meledak keluar bersama-sama. Mungkin mereka tergoda dengan tawaran di negeri asing. Cahaya musim kemarau terhunus masuk lewat jendela kereta api; memanggang bayang-bayang dan harapan. Memang ia bukan mitos yang sengaja menakut-nakutkan. Siapa ingin menjadi pelarian? Kewujudannya hampir lecur oleh siang terik. Namun peristiwa silam apa pun tidak lagi penting kerana masa kini menjadi dinding yang begar, tidak tahu berapa lama mesti bertahan dalam selubung; semakin merimaskan.

Dia yakin dia sedang dirapati remang maut yang berbahang. Haus amat, dia merungut. Di luar tebing plastik ini perlahan-lahan mendung. Kalau dapat dihitung, nafasnya cukup-cukup sahaja untuk daya memori. Dia pun sempat leka membayangkan hitam manis kola bergelojak dingin. Yang likat bergula mengairi hidup. Tin dibuka. Seolah seseorang sengaja menumpahkan. Buih-buih dan desir pepsi perlahan berombak menjadi malam kecoklatan yang melekat di luar muka restoran – di tempat dia bertemu-janji dengan seorang perempuan di kota, lama dulu. Inilah pertama kali dia tahu bahawa merancang pertemuan tidak semestinya sepayah hidup di kampung dulu. Tidak perlu ditentukan oleh kemahuan dan izin bapa. Tidak perlu cinta ditimbang oleh penilaian orang tua. Cinta di negeri asing adalah bertemu untuk memesan makanan bersama. Perempuan dicintai tidak perlu menyembunyikan wajah. Perempuan-perempuan tidak perlu diganti tiga ekor sapi gemuk seperti bapa mertua mereka.

Jadi, inilah kebebasan seorang pelarian – bercinta di daerah baharu. Juga kemunduran memori sebagai kekuatan untuk bertahan di tempat asing. Tetapi mengenang tidak akan menterbalikkan keadaan. Atau memulangkan dia ke lorong belakang kampungnya.

Dalam plastik selofan ini deru darah semakin lembap dan tambah berkulat. Nafas membintik keras, berbau tengik. Siren bagai tangisan yang runcing. Tubuhnya yang sejak tadi terdiam terus diangkat oleh empat orang bersarung hazmat. Dengan kiraan tiga dua satu, mereka tercungap-cungap memasukkan dirinya yang kesusutan ruh ke dalam sebuah kenderaan dengan pintu luas terkuak. Dia tahu itu bukan lawang bermutiara putih. Dia tahu ke mana dia akan tiba nanti. Neraka sedang mendingin di dalam peti yang akan membekukan setiap inci kehidupan. Terasa diri kembali janin, memakan kembarnya.

Dunia, dan kumat-kamit serta bisik-membisik orang ramai di belakangnya memekat, menjadi gel bening dan sejernih-jernih kesedihan, dan semua…

(…semua memori bahagia dan buruk terlintas di luar keping selofan ini. Dia tidak berdaya mengingati bagaimana nikmat memandang ke luar tingkap sebagai manusia, bukan mendonan, bukan juga pendatang. Tujuan hidupnya telah diperolok-olok oleh takdir. Memang, Manusia menjalani hidup dengan mengutip serpih memori silam kerana ini sahaja cara mewajarkan silang igau dan moral mereka. Mereka sihat kerana khasiat kenangan. Tetapi dia sakit kerana mengenang-ngenang juga. Seperti saat ini. Mengenang dalam berkeadaan malang…)

Dan apakah dia akan dikenang? Sebagai mendonan berbeza kulit dan bahasa atau seorang manusia terpilih untuk bernasib malang? Sebagai mangsa yang ditikam peragut? Apakah kematian dia akan diperagakan dalam berita esok pagi? Persoalan sudah menjadi bilah pisau guillotine. Beberapa doktor dan jururawat semacam cemas dan gelisah. Dia terasa jalur nafasnya dipancung oleh sesuatu yang berkilat. Mungkin sabit malaikat maut. Mungkin pisau skalpel doktor. Moga-moga namanya pada akhbar terkesat oleh bintik hujan dan tak terbaca oleh seorang perempuan (entah bekas kekasihnya, entah pelacur yang pernah bersimpati kepadanya). Dilupakan. Diremehkan.

 

 

 

 

 


Pengarang :