BUDAYARENCANA

Melayu desa, Melayu kota

Oleh Johan Radzi

Awang Goneng pernah menulis bahawa bangsa Melayu itu lahir dari rahim kedesaan. Barangkali beliau benar. Sang penulis yang telah menempa nama di panggung kesusasteraan antarabangsa itu melukis pengalaman zaman kecilnya di Terengganu yang penuh dengan warna-warni dan aneka ragam. Tulisan Awang Goneng mengimbau nostalgia yang sulit diketepikan: desir ombak, atap pekan, bacaan quran, dan anak-anak yang riang berlari di pesisir mengembalikan sanubari kita kepada suatu zaman yang penuh redup, meskipun kita tidak pernah merasai sendiri pengalaman semacam itu.

Sudah banyak yang dibahaskan tentang relasi desa vs kota di minda Melayu. Terbaru, polemik politik sejurus PRN 2023 menggigit kita dengan pertanyaan-pertanyaan baru. Garis pemisah yang jelas antara Melayu dua lingkungan ini semakin ketara saban hari, bahkan bakal meletus ke suatu persengkataan yang tidak kunjung selesai. Di sini saya tidak berminat untuk menyusuri ideologi politik kepartian mahupun membicarakan soal corak kehidupan yang bagaimanakah lebih unggul, sebaliknya saya ingin menghalusi pertentangan dua lingkungan ini dan menghurai transisi desa ke kota ini dari sudut seorang Melayu.

Tun Mahathir di dalam bukunya yang bersalut kontroversi Dilema Melayu (1970) menyaran agar Melayu merebut bahagiannya di lingkungan kota sebagai langkah untuk memajukan diri. Kehidupan kota, menurut Tun Mahathir, lebih berwibawa kerana selain arus deras kewangan yang mengalir di sana, kehidupan yang serba mencabar itu bakal melenturkan melayu-melayu yang cerdas dan mampu berdaya saing. Dah tentu, ujaran ini tidak sepenuhnya terpesong. Dari sudut material, kehidupan kota menjuarai segalanya.

Pun begitu, kehidupan kota tidak selalunya beres. Dari dulu, melayu memandang lingkungan kota serta seisi penduduknya dengan mata yang sangsi. Berkali-kali dipatahkan oleh dasar Inggeris dan helah Cina, si Melayu berundur dengan kepala yang tertunduk. Sikap ini, yang seterusnya membentuk pandang-sarwa Melayu terhadap kekotaan, terus lekat untuk berdasawarsa buat sekian lamanya. Buku Tun Mahathir ini dikritik kerana inti darwinismenya, serta tuduhan bahawa sang Cina terpalit dengan rasuah dan muslihat sejak azali, tetapi kekhuatiran serta buah fikirnya tetap relevan buat kita merenungi perjalanan sejarawi melayu di antara dua lingkungan ini.

Kehidupan kekotaan ternyata sangat mencabar bagi Melayu. Lantaran pecah-perintah kolonial Inggeris, Cina ditempatkan di kota-kota penting di semenanjung, mengaut mahsul negeri yang banyak serta bergiat di dalam perdagangan dan pembuatan yang menguntungkan. Sebaliknya melayu disisihkan ke pendesaan dengan hanya bendang dan dusun sebagai usaha menyara diri. Begitulah resminya beratus tahun.

Kegelisahan Melayu ini tercetak bahkan di dalam karya-karya sasterawan melayu sendiri. Karya-karya kita padat dengan amatan-amatan kepada kehidupan kekotaan; Pak Samad, Shahnon Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, serta penyair-penyair seperti T Alias Taib, Latiff Mohidin, dan Muhammad Salleh. Perkara ini sudah banyak diajukan oleh mahasiswa-mahasiswa susastera kita dan tak perlu dibincangkan lagi.

Perasaan ini tidak ternoktah di hujung zaman persuratan. Namun, ia terbawa ke dalam filem-filem Melayu millenial. Di dalam Songlap (2011), sepasang beradik bergelut dengan kenyataan hidup di kota yang keras lagi mematahkan semangat. Pertembungan mereka dengan sindiket jual-beli bayi, serta kenangan silam yang menghibakan, membuat khalayak penonton terus tertekan sepanjang tayangan. Kitaran sengsara ini akhirnya dilolosi dengan penghijrahan ke negeri luar sebagai usaha membuka lembaran baru. Di Bunohan (2011), meskipun berlatarkan Kelantan, kita tahu bahawa tangan-tangan jahat yang ingin mencerai-beraikan suatu desa yang terpencil itu telah terjalar nun jauh dari ibukota KL. Ini terzahir ketika Cikgu Bakar menyiarkan video untuk ditunjukkan kepada “dato-dato” yang ingin merampas tanah pantai itu justeru membuka ladang golf. Kehadiran mereka tidak terlihat di sepanjang filem, tetapi laksana tok dalang di sebalik kelir, merekalah yang menggerakkan plot cerita sehingga terjadi perbalahan di antara tiga beradik yang berlainan ibu. Di dalam Prebet Sapu (2020) pula suasana KL digambari dengan kelam dan sugul. Filem berpusat kepada si Aman yang bekerja sebagai supir kereta dan Bella, si sundal yang lazim menjadi penumpang malamnya. Bersama, mereka meredahi cabaran-cabaran hidup kekotaan dan mengajukan persoalan-persoalan yang tidak kurang menarik. KL bukanlah suatu ibu kota yang menjanjikan kemewahan, sebaliknya: “Orang datang KL ini untuk menangkap. Nak kejar impian. Tapi tak semuanya berjaya. Dan yang gagal, akan terperangkap.”

Selain politik, sosial, dan ekonomi, terdapat suatu perihal lagi yang menggusarkan jiwa Melayu. Ia terletak pada soal eksistensial Melayu, berkait dengan jiwa Melayu serta petikan Awang Goneng yang saya sebutkan di permulaan. Melayu secara intisarinya adalah bangsa yang amat mengakrabi alam. Sikap ini terakam di dalam peribahasa-peribahasa. Melayu menilai segalanya dengan mengaitkan kepada alam sekitar. Untuk menggambari gotong-royong, Melayu mengungkapnya “bagai aur dengan tebing.” Untuk menggambari kebahayaan sayup, melayu berkata “air yang tenang jangan disangka tiada buaya.” Untuk menggambari persaudaraan utuh, melayu mengucapkan “air yang dicincang tidakkan putus.” Selain itu, terdapat peribahasa-peribahasa lain yang masing-masing kaya dengan citra alami.

Sebaliknya, kehidupan kekotaan yang keras, pahit, serta mencabar telah mencampak Melayu ke wilayah yang tidak menentu. Melayu merasa asing berdampingan dengan binaan konkrit, longkang, parit, jalan aspal, serta deretan kedai dan rumah. Asap dan lalu lintas kenderaan menggusarkan si melayu, kehidupan di sana riuh dan sibuk. Manusia bercakap soal wang dan dagangan. Tiada semangat kejiranan, hanya keluarga-keluarga yang tidak menyapa jirannya. Ibarat Adam dan Hawa yang disingkirkan dari kebun syurgawi, melayu merasa sesat dan gelisah berhadapan dengan lingkungan yang serba baru dan aneh itu.

Di dalam suatu wawancara, pengarang Amri Ruhayat pernah berkata bahawa punca krisis identiti Melayu boleh jadi kerana penghijrahan besaran dari desa ke kota lantaran Dasar Ekonomi Baru pada 70-an. Gelombang perantau yang mengisi pekerjaan-pekerjaan di kota berlaku secara mengejut dan pukal, secara efektifnya memutuskan ikatan Melayu kepada desa yang melahirkan serta mendewasakannya. Di dalam bingkai waktu yang singkat Melayu dipaksa untuk hidup di dua lingkungan dan ini menggoncang sanubarinya.

Saya Melayu kota dan dilahirkan, dibesarkan, dan mencari nafkah di kota. Kaki saya tidak pernah terbenam di sawah, atau memanjat pokok rambutan, atau menunggang belakang seladang seperti di imejan-imejan pastoral. Sarapan saya bukannya lempeng nyior tetapi makanan cepat saji Amerika atau Jepun, dan kami banyak berpelesiran di antara panggung wayang, toko butik, lorong boling serta pesta muzik. Saya dan jutaan rakan sebaya barangkali mengisyaratkan rentetan generasi Melayu yang berjaya menembusi benteng halimunan ini, lalu hidup bergelumang dengan realiti kekotaan yang baru. Tetapi ada kalanya saya melihat hijau sawah, atau bersih pantai, atau redup desa-desa, dan jiwa saya kembali digamit suatu perasaan nostalgia: apakah kita semua hanyalah merindukan rahim yang akhirnya tidak akan kembali mendakap kita lagi?


Pengarang :