Suzana Sueb, 42, menunjukkan surat pengesahan wang pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sambil diperhatikan anak perempuannya ketika ditemui di Sekinchan pada 30 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Waris langsai hutang adik OKU guna pampasan insurans negeri

SHAH ALAM 17 SEPT: Waris lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang maut akibat kemalangan di Parit 4, Sekinchan akhir Mei lalu terharu apabila allahyarham sebenarnya dilindungi Skim Insurans Am Selangor (INSAN) disediakan Kerajaan Negeri.

Pada awalnya Suzana Sueb, 42, tidak mengetahui skim perlindungan insurans am percuma itu sebelum Tok Sidang Kampung Parit 5, Sekinchan memaklumkan adiknya Suzali Sueb, 40, merupakan penerima manfaat INSAN.

Anak sulung daripada enam beradik itu kemudian diminta mengemukakan beberapa dokumen bagi proses tuntutan pampasan arwah bernilai RM11,000 yang diperoleh dalam tempoh 14 hari.

“Sejak arwah meninggal memang saya tidak tahu berkenaan INSAN sehinggalah satu hari saya berjumpa Tok Sidang untuk menuntut wang khairat kematian RM500 daripada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dia beri saya satu borang tertera INSAN dan minta lengkapkan. Mulanya terkejut juga sebab setahu saya arwah memang tiada perlindungan insurans, rupanya Kerajaan Negeri melindungi rakyatnya melalui INSAN.

“Borang sudah dihantar dan saya dimaklumkan pampasan dikredit dalam akaun. Terima kasih Kerajaan Selangor bantu lindungi rakyat sebab ramai sebenarnya tidak mampu beli insurans sendiri,” katanya.


Suzana Sueb, 42, waris Suzali Sueb yang maut dalam kemalangan Mei 2023, terharu apabila allahyarham dilindungi Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang disediakan Kerajaan Negeri ketika ditemui di Sekinchan pada 30 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Mengulas perancangan wang pampasan tersebut, ibu dua anak itu mahu membayar fidyah puasa dan melangsaikan hutang arwah hasil persetujuan bersama ibu serta adik beradik lain.

Beliau menjelaskan arwah sebelum ini hanya bekerja sebagai pemungut kelapa dan pendapatan hanya cukup makan selain tiada simpanan besar.

“Jadi kami sepakat untuk tunaikan kewajipan itu. Tanpa wang pampasan ini kami mungkin terpaksa cari wang sendiri untuk berbuat demikian.,” katanya.

Dalam pada itu, Suzana berkata rakyat Selangor seharusnya bangga dan bertuah kerana ditawarkan skim perlindungan insurans percuma yang sukar diperoleh di tempat lain.

Katanya rakyat perlu percaya dengan skim itu yang membantu mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.

“Skim ini memang membantu dan rakyat tidak perlu was-was. Malah tiada isu kebocoran data pun sebab Kerajaan Negeri buat inisiatif ini demi kepentingan umum,” katanya.

Suzali yang cacat mental sejak kecil dilapor maut di tempat kejadian pada 29 Mei lalu apabila motosikal jenis Kriss ditunggangnya dirempuh sebuah pacuan empat roda.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada enam juta rakyat Selangor dan ditawarkan kepada individu berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan untuk mendaftar INSAN dilonggar kepada pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor berbanding sebelum ini hanya pemegang kad pengenalan kod negeri ini atau pengundi di Selangor layak mendaftar.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Setakat 30 Jun 2023, 5.24 juta individu dilindungi di bawah skim insurans berkenaan.

Daripada jumlah itu 3.5 juta adalah pengundi Selangor, bayi dan kanak-kanak berusia 30 hari hingga enam tahun (750,000), kanak-kanak hingga remaja berusia tujuh hingga 19 tahun (900,843) serta orang awam (81,797).


Pengarang :