Dari kiri Penerima Anugerah Gol Terbaik pilihan peminat, Harry Danish dari Pasukan Belia Selangor, Penerima Jawatankuasa Pengadil FAS Muhammad Harris Sharuddin, Penerima Anugerah Jurulatih Terbaik pilihan peminat, Fairuz Montana dari Pasukan PJ Kelana United dan Penerima Anugerah Pemain Muda Terbaik pilihan peminat, Shahrul Haziq dari Pasukan PJ Kelana United bergambar bersama trofi selepas Majlis undian Piala Liga Juara Selangor (SCL 2023) bagi edisi ketujuh anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Sunway Resort Hotel pada 18 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pemain muda terbaik SCL 2022 tekad pamer aksi lebih cemerlang

SUBANG JAYA, 19 SEPT: Kejayaan meraih Anugerah Pemain Muda Terbaik Liga Juara Selangor (SCL) 2022 menjadi motivasi buat Shahrul Haziq untuk terus beraksi cemerlang pada masa akan datang.

Penghargaan itu turut membakar semangat pemain Kelana United berusia 20 tahun itu untuk membantu pasukan memenuhi sasaran menjuarai SCL tahun ini.

“Sejujurnya saya tak jangka dengan kemenangan ini tetapi sudah semestinya membakar semangat saya untuk membantu pasukan memenuhi sasaran bergelar juara SCL tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian SCL 2023 di Hotel Sunway Resort & Spa semalam.

Sementara itu, jurulatih pasukan, Fairuz Montana yang turut menerima Anugerah Jurulatih Terbaik berkata kejayaan Shahrul membakar semangatnya untuk merangka persiapan rapi pasukan menghadapi kejohanan ini.

“Kemenangan ini sudah semestinya menyuntik motivasi saya bersama pasukan untuk menghadapi cabaran kejohanan SCL 2023 akan datang. Saya bersyukur diundi dalam kumpulan dengan pasukan yang kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz mengimpikan trofi SCL musim ini sekali gus meneruskan momentum kejayaan menjuarai Liga Perdana FAS bulan lalu.

“Edisi 2021 kami ke suku akhir, tahun lalu separuh akhir dan edisi kali ini saya mahu gelaran juara. Dengan kekuatan dan prestasi semasa kami yakin kejuaraan tahun ini milik kami,” katanya.

Pada majlis sama Harry Danish merangkul anugerah Gol Terbaik manakala Muhammad Harris Sharudin menerima Anugerah Jawatankuasa Pengadil.

Kesemua pemilihan kemenangan anugerah ditentukan melalui undian peminat di laman media sosial Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).


Pengarang :