Lau Weng San sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Speaker baharu berazam jadikan DNS pentas lafaz dasar, pendirian negeri

SHAH ALAM, 19 SEPT: Speaker baharu berazam menjadikan Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai pentas untuk melafazkan dasar dan pendirian negeri.

Lau Weng San juga akan memanfaatkan medium itu untuk menjawab segala persoalan dan isu yang dibangkitkan wakil rakyat sama ada blok kerajaan atau pembangkang.

“Sebagai wakil rakyat atau speaker, kita perlu manfaatkan dan utamakan platform yang ada di dewan untuk melafazkan pendirian dan dasar negeri.

“Semua perkara yang memerlukan jawapan pula seboleh-bolehnya saya akan beri (jawapan) dalam sidang DNS juga,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama DNS ke-15 di sini hari ini.

Lau Weng San mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mantan wakil rakyat Banting turut bertekad untuk menjalankan tugas dengan adil dan saksama selain mengelak keputusan berat sebelah.

“Saya berterima kasih kepada yang memberi sokongan (pelantikan speaker). Saya akan jalankan tugas dengan adil dan saksama serta tidak berprasangka demi rakyat Selangor.

“Wakil rakyat lain pula sama ada yang lama atau baharu diharap dapat menggunakan pengalaman sebaik mungkin untuk melancarkan perjalanan sidang DNS,” katanya.

Terdahulu, pelantikan Weng San diumumkan Setiausaha Dewan J Gayathri selepas dicadangkan wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim sebelum mendapat sokongan majoriti ahli dewan melalui undi sulit.

Pemimpin berusia 45 tahun itu pernah menjadi wakil rakyat Kampung Tunku selama dua penggal sejak 2008 selain berkhidmat kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.


Pengarang :