Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyertai himpunan di Masjid Negara Kuala Lumpur semasa kemuncak gerakan Reformasi pada 1998. Foto sumber AP
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Gelombang reformasi 25 tahun, dari Masjid Negara ke Putrajaya

Oleh FATHI ARIS OMAR

Gerakan Reformasi 1998 lahir daripada semangat perlawanan. Lawan tetap lawan, lawan sampai menang. Tetapi belum ada harapan. Sepuluh tahun semangat perlawanan menyala tanpa tanda-tanda jelas kemenangan.

Hidup sepanjang dasawarsa ini penuh pertarungan dan keperitan. Tangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan intipan polis sentiasa menghantui pemimpin dan aktivis. Media arus perdana membungkam semua suara kritikan.

Selain pentas ceramah gabungan pembangkang Barisan Alternatif (BA), badan kehakiman dan polis menjadi sorotan ramai. Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicara selama dua tahun bagi dua kes yang dianggap “konspirasi politik peringkat tertinggi”.

Terengganu, yang dirampas BA pada pilihan raya umum (PRU) 1999, ditarik balik royalti petroleum pada September 2000, menjejaskan kira-kira 80 peratus pendapatan negeri. Rasa dizalimi membuak-buak.

Persempadanan baharu pilihan raya dibentang pada 2003 dengan hasrat menghalang kemaraan BA yang meraih sokongan besar pengundi Melayu. Mewujudkan lebih banyak kerusi campuran bukan Melayu antara “dosa terbesar” Tun Dr Mahathir Mohamad, kata pemimpin PAS.

Hairannya, demonstrasi yang dimulakan secara besar-besaran di Kuala Lumpur sejak 20 September 1998 tidak pernah padam. Ia tetap diteruskan kecil-kecilan. Ada kalanya melimpah ke Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) pada November 2000.

Penyokong reformasi menyertai demonstrasi di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ketika mereka menuju ke Jalan Kebun, Klang pada 5 November 2020

Perhimpunan di Masjid Negara dan Dataran Merdeka 25 tahun lalu menjadi penanda aras perlawanan dengan bantahan besar bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil mulai 2007 atau mendesak pemansuhan ISA pada 2009.

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) pula muncul dalam tunjuk perasaan terbesar etnik India pada November 2007, selang dua minggu selepas demonstrasi Bersih kali pertama.

Pada September tahun itu, kumpulan peguam berarak di Putrajaya bagi mendesak siasatan klip video pengaturan hakim, skandal badan kehakiman paling panas yang didedahkan Anwar daripada rakaman sulit lima tahun sebelumnya.

Pertengahan 2006, orang ramai turun di jalan raya bagi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Dengan bantuan blog, pada tempoh yang sama, Dr Mahathir melancarkan siri serangan terhadap penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Digelar “tsunami politik”, setelah satu dekad bertarung, pilihan raya 8 Mac 2008 menguak harapan. Selain Kelantan, empat lagi negeri termasuk Selangor jatuh ke tangan gabungan pembangkang, kemudiannya dikenali Pakatan Rakyat (PAKATAN). Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pergeseran dalaman

Tiba masanya negeri-negeri ini membuktikan semangat reformasi. Selangor mendahului dengan memperkenal Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor pada 2010 selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor dibentuk dua tahun lebih awal.
(rujuk laporan ‘Rintis reformasi pentadbiran, Selangorkini, 9-15 Mac 2023)

Bagaimanapun harapan kejayaan ini datang bersama ujiannya tersendiri. Perak kembali ke tangan BN setelah berlaku insiden melompat parti beberapa wakil rakyat. Beberapa ahli parlimen PAKATAN berpindah sokongan kepada kerajaan pusat.

Selain serangan media yang makin meningkat kepada lima kerajaan negeri PAKATAN, berlaku pula pergeseran dalaman parti dan juga antara tiga parti ini Selangor dilanda krisis menteri besar, sementara PAS retak hingga melahirkan Parti Amanah Negara.

PAS pula berpisah daripada DAP tetapi tidak meninggalkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), terus berada dalam pentadbiran Selangor. Semua krisis ini berlaku, satu demi satu, selepas kejayaan PAKATAN meraih undi popular lebih besar daripada BN pada pilihan raya umum 2013.

Namun desakan untuk reformasi tidak pernah dilupakan, termasuk menuntut pilihan raya bebas dan adil. Buat pertama kali dakwat kekal diperkenalkan pada pilihan raya sedekad lalu hasil desakan reformasi pembangkang.

Beberapa akta penting diperkenalkan sebelum Abdullah diasak keluar pada April 2009. Beliau
memperkenalkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menambah lagi keupayaan bertindak badan itu.

Abdullah juga memperkenalkan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) walau sebahagiannya masih tidak memuaskan dan mengundang kritikan.

Pembelotan 2020

Semua akta ini digubal selepas menerima syor beberapa suruhanjaya bebas siasatan diraja (RCI),
antaranya bagi menambah baik badan kepolisan dan juga kehakiman sebelum PRU 2008 lagi.

Akta zalim ISA yang menakutkan itu terpaksa dimansuh oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2012 hasil kempen berterusan sejak 1998 dan demonstrasi besar menolak undang-undang tersebut pada 2009.

Ketika pergeseran sesama PAKATAN itu, meledak pula skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan kapal selam Scorpene yang tidak surut-surut sejak hujung 2006.

Di saat inilah, selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilancar pada Mac 2016, Dr Mahathir berjabat tangan dengan Anwar di mahkamah selepas krisis tajam selama 18 tahun.

Peristiwa ini melicinkan proses kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pakatan Harapan (HARAPAN), gabungan baharu yang menggantikan PAKATAN apabila PAS memilih jalannya sendiri.

Pengundi melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing sempena pilihan raya negeri di Sekolah Kebangsaan 2 Sultan Alam Shah pada 12 Ogos 2023. Foto BERNAMA

Datang PRU 9 Mei 2018, penguasaan BN selama 60 tahun pun berakhir. Pelbagai usaha reformasi mula digerakkan lebih banyak. Pindaan perlembagaan dibuat pada Julai 2019 bagi membolehkan remaja seawal 18 tahun turun membuang undi.

Namun, sekali lagi, usaha reformasi tergendala akibat pembelotan Bersatu dan sekumpulan ahli
parlimen KEADILAN pada Februari 2020.

Ketika negara dilanda Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak sesuka hati dengan merampas negeri-negeri, sepanjang 2020, yang asalnya dimenangi HARAPAN. PN juga memperkenalkan darurat pada Januari 2021.

Tetapi usia pentadbiran ini tidak panjang. Darurat yang menguatkan kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa proses semak dan imbang menjadi punca kejatuhannya sehingga diganti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021.

Pemimpin Umno itu bersedia menghulur tangan kerjasama dengan HARAPAN yang membolehkan sejumlah lagi reformasi penting dilaksanakan. Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik
ditandatangan pada 13 September tahun itu.

Pencapaian terbesar persefahaman, antaranya, meminda perlembagaan bagi melarang tindakan lompat parti, mengukuhkan kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mewartakan pengundi 18 tahun. Semua warga layak mengundi apabila pendaftaran automatik daftar pemilih diluluskan.

Berkat pindaan inilah terbentuknya Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum 19 November 2022. Anwar, bersama agenda reformasi, yang meniti liku keperitan dan pengkhianatan selama 25 tahun akhirnya diangkat ke Putrajaya.

Ribuan Penyokong Kerajaan Perpaduan menghadiri Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Maka bermulalah babak-babak baharu politik negara. Reformasi institusi terbentang luas. Akhirnya, siapapun tokoh dan apapun pentasnya, semua bangsa memerlukan kaum pembaharu. Pada setiap zaman rakyat pasti bangkit menuntut perubahan.

Gelora politik negara

Oleh NADIAH ZAMLUS

2 September 1998
Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet. Dipecat dari Umno dua hari kemudian

20 September 1998
-Anwar ketuai demonstrasi puluhan ribu orang di Masjid Negara dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

-polis pecah masuk rumahnya di Bukit Damansara dan tahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan

-malam itu juga Anwar dibelasah Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor. Kemudian ditahan bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

27 September 1998
Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), diketuai Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, ditubuh untuk henti salah guna ISA

29 September 1998
Anwar muncul di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan mata lebam, mengejutkan orang ramai

27 Januari 1999
suruhanjaya diraja menyiasat insiden mata lebam Anwar ditubuh. Rahim bersalah, dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 pada 30 April 2001

4 April 1999
Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) dilancar di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur

14 April 1999
Anwar dihukum penjara enam tahun, selepas didakwa pada 5 Oktober 1998. Tarikh ini dianggap Gelita 14

19 September 1999
demonstrasi di Masjid Negara, Anwar didakwa diracun arsenik

18 November 1999
Profesor Jomo KS saman kerajaan, tidak masukkan 680,000 pengundi untuk pilihan raya umum

29 November 1999
Terengganu jatuh ke tangan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum. Banyak kerusi dimenangi
pembangkang

30 November 1999
permit penerbitan majalah proreformasi yang diterbit dua kali sebulan Detik ditamatkan

2 Mac 2000
mingguan PAS Harakah dilarang terbit lapan kali sebulan, hanya dibenar dua kali sahaja. Pada 12 Januari, editornya Zulkifli Sulong didakwa bawah Akta Hasutan

14 April 2000
ulang tahun pertama Gelita 14 (Black 14)

15 April 2000
mingguan isu semasa Eksklusif yang jadi rujukan utama peminat politik ditamatkan. Majalah anak muda Wasilah tidak disambung 31 Ogos

8 Ogos 2000
Anwar dihukum penjara sembilan tahun bagi kes kedua

5 September 2000
royalti minyak kepada Terengganu ditarik balik, diganti dengan wang ihsan

5 November 2000
polis sekat penyokong reformasi di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ketika mereka menuju ke Jalan Kebun, Klang

10 April 2001
10 pemimpin Pemuda KEADILAN dan aktivis reformasi ditahan bawah ISA menjelang Gelita 14 kedua

30 April 2001
Gerakan Mansuhkan ISA dibentuk, dianggotai lebih 80 organisasi

12 Mei 2001
lima tuduhan jenayah Anwar digugur pihak pendakwa raya kerana kekurangan bukti

22 September 2001
DAP tarik diri daripada BA

31 Oktober 2003
Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan, diganti Tun Abdullah Ahmad Badawi

21 Mac 2004
Barisan Nasional (BN) catat kemenangan terbesar pada PRU ke-11

2 September 2004
Mahkamah Persekutuan bebaskan Anwar daripada kesalahan seksual kerana kurang bukti

Mahkamah Persekutuan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kesalahan seksual kerana kurang bukti pada 2 September 2004

10 November 2007
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) anjur perhimpunan di Kuala Lumpur

25 November 2007
Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) anjur perhimpunan besar di Kuala Lumpur

8 Mac 2008
Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-12. BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen

1 April 2008
Pakatan Rakyat (PAKATAN) ditubuhkan dengan gabungan KEADILAN, PAS dan DAP

14 April 2008
Anwar kembali ke arena politik, lebih 10,000 penyokong sambut dalam satu perhimpunan

4 Februari 2009
BN bentuk kerajaan di Perak selepas tiga wakil rakyat PAKATAN lompat parti

2 April 2009
Abdullah letak jawatan perdana menteri, diganti Datuk Seri Najib Razak

9 Julai 2011
Bersih 2.0 adakan perhimpunan besar, tuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil

28 April 2012
Sekali lagi demonstrasi Bersih diadakan di Kuala Lumpur. Polis bertindak ganas, termasuk kepada wartawan

5 Mei 2013
PRU ke-13 sengit. PAKATAN hilang Kedah, kekal di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Undi popular PAKATAN atasi BN

29 dan 30 Ogos 2015
Bersih 4 diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, tuntut pilihan raya bebas dan adil, kerajaan telus, hak berdemonstrasi, kukuhkan demokrasi berparlimen dan selamatkan ekonomi negara

22 September 2015
Pakatan Harapan (HARAPAN) ditubuh, gantikan PAKATAN, dianggotai KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara

4 Mac 2016
Deklarasi Rakyat tuntut Najib lepas jawatan susulan isu 1Malaysia Development Berhad

5 September 2016
Anwar jabat tangan dengan Dr Mahathir di mahkamah semasa cabar Akta Majlis Keselamatan Negara. Waktu itu, Anwar dipenjara lima tahun atas kes ketiga

20 Mac 2017
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sertai HARAPAN

7 Januari 2018
HARAPAN namakan Mahathir calon perdana menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya

9 Mei 2018
BN kalah kali pertama dalam sejarah, hanya tinggal 79 kerusi Parlimen. Dr Mahathir dilantik perdana menteri

16 Mei 2018
Anwar terima pengampunan Yang di-Pertuan Agong

13 Oktober 2018
Anwar menang pilihan raya kecil Port Dickson

23 Februari 2020
Bersatu keluar HARAPAN, bersama 11 pemimpin KEADILAN. Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri keesokannya

1 Mac 2020
Muhyiddin angkat sumpah perdana menteri yang kelapan

Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 21 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

11 Januari 2021
kerajaan isytihar darurat atas alasan lawan Covid-19

20 Ogos 2021
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik perdana menteri, ganti Muhyiddin

19 November 2022
PRU ke-15, tiada parti peroleh majoriti mudah. Yang di-Pertuan Agong saran bentuk Kerajaan Perpaduan

24 November 2022
Anwar angkat sumpah perdana menteri kesepuluh

Reformasi perundangan

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Di luar kerajaan, Gerakan Reformasi mendesak pelbagai bentuk perubahan perundangan. Ketika berkuasa, parti-parti yang mendukung semangatnya memperkenal pembaharuan. Perjalanan masih panjang tetapi ia sudah bermula sejak 25 tahun lalu.

4 Februari 2004
-Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia ditubuh susulan peningkatan kematian dalam tahanan

-setahun selepas itu, RCI syor tubuh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

19 September 2007
Datuk Seri Anwar Ibrahim dedah klip video perbualan telefon peguam VK Lingam dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim atur lantikan hakim. Video dirakam Loh Gwo Burne pada 2002

26 September 2007
Kira-kira 2,000 peguam dan orang awam berarak di Putrajaya, tuntut tubuh RCI siasat klip perbualan tersebut

16 November 2007
kerajaan tubuh RCI siasat klip video perbualan telefon peguam Lingam dengan Ahmad Fairuz

8 Mac 2008
Pakatan Rakyat menang lima negeri, sekali gus nafi majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN)

20 Mei 2008
syor RCI diumum, klip video disahkan tulen, Lingam dengan Ahmad Fairuz atur pelantikan hakim

Orang ramai hadir bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak pada 16 September 2023. Foto Facebook BERNAMA

31 Ogos 2008
Anwar cadang 16 September dijadikan cuti umum di seluruh negara untuk sambut Hari Malaysia

10 Disember 2008
rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dibentang di Parlimen

1 Januari 2009
SPRM mula beroperasi, ganti Badan Pencegah Rasuah

8 Januari 2009
Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman diwarta, dikuat kuasa

1 Ogos 2009
demonstrasi Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur, sempena ulang tahun ke-49 akta benarkan seseorang ditahan tanpa bicara

3 September 2009
Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) diwarta, ganti RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2005

19 Oktober 2009
kerajaan isytihar cuti umum pada 16 September setiap tahun bagi sambut Hari Malaysia seperti disaran Anwar

9 Julai 2011
demonstrasi BERSIH 2.0 tuntut, antaranya, penggunaan dakwat kekal ketika pilihan raya

15 September 2011
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umum rancang mansuh ISA

17 April 2012
Dewan Rakyat meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA)

31 Julai 2012
ISA mansuh secara rasmi, diganti dengan SOSMA

15 Julai 2012
pembaharuan tahunan lesen mesin cetak dan permit penerbitan dimansuh, selaras pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012

5 Mei 2013
dakwat kekal digunakan pertama kali dalam pilihan raya umum ke-13

28 Jun 2018
Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pertimbang tubuh Majlis Media seperti dijanjikan dalam manifesto

16 Julai 2019
Dewan Rakyat luluskan pindaan perlembagaan turunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun

18 Julai 2019
RUU IPCMC dibentangkan di Parlimen

3 Disember 2019
Bacaan kedua dan ketiga RUU IPCMC ditangguh

23 Februari 2020
Kerajaan HARAPAN tumbang, Tan Sri Muhyiddin Yassin angkat sumpah perdana menteri pada 1 Mac

13 September 2021
-Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dipersetujui antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan HARAPAN

-butiran MoU itu antaranya melulus RUU anti lompat parti, percepat pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik, lulus pindaan perlembagaan untuk hadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun. Pindaan perlembagaan kukuhkan Perjanjian Malaysia (MA63) dan kebebasan institusi kehakiman

14 Disember 2021
Parlimen lulus RUU Pindaan Perlembagaan kukuhkan MA63

15 Disember 2021
pendaftaran automatik dan pengundi umur 18 tahun berkuatkuasa

26 Julai 2022
RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 diluluskan di Parlimen

28 Julai 2022
Dewan Rakyat lulus pindaan perlembagaan larangan lompat parti

5 Oktober 2022
larangan lompat parti berkuatkuasa selepas dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA

24 November 2022
Anwar angkat sumpah perdana menteri selepas berjaya bentuk Kerajaan Perpaduan

28 Julai 2023
RUU tubuhkan Majlis Media dijangka dibentang di Parlimen pada Mac 2024

16 September 2023
Anwar beri jaminan laksanakan segala perjanjian dimeterai dalam MA63


Pengarang :