Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teknologi sisa kepada tenaga beri nilai tinggi, negeri tumpu usahakan industri

SHAH ALAM, 20 SEPT: Teknologi sisa kepada tenaga (Waste-To-Energy) akan diberi tumpuan pada masa depan berikutan impaknya kepada ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu sudah dititikberatkan sejak 2018 malah aspek penerokaan dan kebolehlaksanaan industri turut dibincang bersama wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini.

“Ini antara strategi yang kita laksanakan dalam dua tiga tahun ini. Kalau berkeupayaan kita buat tahun depan menerusi Belanjawan 2024 supaya ekonomi kitar semula bernilai tinggi dapat dibuat.

“Industri ini dapat hasilkan tenaga baharu serta mengurangkan penggunaan elektrik. Kita percaya imej korporat dan lori kompaktor baharu ini, diikuti iltizam dapat tingkatkan keupayaan kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika Majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berucap pada majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEB Waste Management, Amirudin berkata pihaknya juga sedang mencari alternatif atau formula baharu berhubung kutipan sampah di kawasan kampung tradisi.

“Pada waktu ini kutipan secara tanggungjawab sosial korporat oleh MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan). Namun di kawasan tertentu contoh Hulu Langat, Kampung Delek dan Rantau Panjang (di Klang) banyak aktiviti komersial seperti pasar malam.

“Kita akan fikirkan sistem pembayaran kepada agensi komersial untuk urus sisa itu. Mungkin guna kenderaan kecil dan kutipan berkala, sekali seminggu atau dua minggu. Ini dapat hasilkan dana KDEBWM,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan lori kompaktor baharu milik syarikat mengurus sisa domestik berwarna merah kuning, selari warna tema negeri.

Pelancaran aset itu sempena penyambungan kontrak KDEBWM dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang berkuat kuasa 1 Oktober depan selama tujuh tahun.

 


Pengarang :