EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi menzirahi mangsa ribut di pusat pemindahan sementara Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Hulu Langat pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri sedia khidmat kaunseling bantu mangsa ribut urus trauma

HULU LANGAT, 20 SEPT: Kerajaan Negeri menyediakan khidmat kaunseling bagi membantu mangsa ribut di Beranang mengurus tekanan dan trauma.

EXCO kebajikan masyarakat berkata khidmat psikososial dikendali Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau di sini.

Anfaal Saari menjelaskan tempoh 24 hingga 48 jam pascabencana merupakan waktu kritikal berikutan ada mangsa yang mengalami trauma selepas kediaman mereka rosak teruk selain pendapatan terjejas.

“Kita perlu tangani dengan baik memandangkan sebahagian besar mangsa tiada pekerjaan tetap sebaliknya hanya bekerja sendiri serta berniaga makanan.

“Begitu juga anak-anak yang masih bersekolah. Jadi kita bantu sediakan khidmat kaunseling di sini,” katanya ketika ditemui.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menzirahi mangsa ribut yang berteduh di pusat pemindahan sementara Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Hulu Langat pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Terdahulu, Anfaal bersama EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi menziarah 43 mangsa membabitkan 10 keluarga yang berteduh di PPS terbabit sejak malam tadi.

Kira-kira 7 petang semalam, Beranang dilanda ribut hingga menjejaskan 96 kediaman penduduk membabitkan 370 mangsa.

Mereka terdiri dari Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sungai Jai, Taman PKNS Beranang dan Kampung Sesapan Batu Rembau.


Pengarang :