Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) menyampaikan bantuan makanan asas kepada mangsa terjejas ribut di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Kajang pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa ribut hargai, puji tindakan pantas Kerajaan Negeri hulur bantuan

HULU LANGAT, 21 SEPT: Salah seorang mangsa ribut di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang di sini terpaksa menghentikan sementara jualan keropok lekor di pasar malam akibat patah tangan kanan selepas terkena serpihan rangka atap rumah.

Rohasliza Mohamad Hanafi, 42, reda apabila jualan keropok yang menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga sejak beberapa tahun lalu terjejas selepas doktor menyarankannya supaya berehat sehingga keadaan kembali stabil.

Ibu dua anak itu dimaklumkan doktor yang merawatnya di Hospital Kajang proses pemulihan dijangka memakan masa agak lama berikutan hentakan kuat kayu atap pada tangan.


Rohasliza Mohamad Hanafi, 42, patah tangan kanan selepas terkena serpihan rangka atap rumah dalam kejadian ribut di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang pada 19 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Kejadian berlaku sekelip mata dan ketika saya mahu keluar rumah. Agak terkejut sebab secara tiba-tiba ribut seperti puting beliung datang sedangkan sebelum keluar rumah cuaca baik sahaja.

“Saya nampak bumbung rumah terbang sebelum serpihan kayu jatuh terkena tangan dan saya tidak sempat mengelak kerana terlalu cemas. Susulan itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bawa saya ke hospital untuk rawatan.

“Imbasan x-ray doktor mendapati tisu tangan koyak dan patah selain ambil masa lama untuk pulih semula. Saya sedih sebab terpaksa cuti seketika daripada berniaga,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau di sini semalam.

Terdahulu, Rohasliza bersama 42 mangsa lain yang ditempatkan di PPS terbabit menerima kunjungan EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Turut serta Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor yang mengagih bantuan segera berbentuk makanan asas dan perkakas penjagaan diri.

Dalam pada itu, Rohasliza bersyukur kerana nasib menimpanya bersama 370 mangsa lain dari lima kawasan mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Selangor.

“Saya berbesar hati Kerajaan Negeri sudi bantu dan tengok kami di sini. Kami juga berharap mereka boleh bantu daripada segi kewangan kerana kebanyakan kami bekerja sendiri serta hilang pendapatan disebabkan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Amirnaufal Mazalan, 29, memaklumkan gerai nasi ayamnya juga ditutup sementara hingga kerja pembersihan rumah selesai.

“Alhamdulillah tiada apa yang tidak diingini berlaku cuma ada beberapa peralatan rumah rosak seperti kipas selain atap genting terbang.

“Saya sekeluarga perlu bersihkan rumah terlebih dahulu sebelum berniaga semula. Tidak boleh tutup terlalu lama kerana bimbang pendapatan terjejas,” katanya yang turut bersyukur atas bantuan negeri.

Keadaan rumah yang rosak susulan kejadian ribut di beberapa kawasan di Hulu Langat pada 19 September 2023. Foto Laman X Najwan Halimi

Seorang lagi mangsa Arnin Nonchi, 48, mengakui masih trauma memandangkan pertama kali berdepan situasi cemas itu sejak tinggal di kampung terbabit lebih setahun lalu.

“Saya sedang kemas dapur waktu itu dan tiba-tiba elektrik terputus sebelum tengok di luar rumah ribut sangat kuat,” katanya yang memuji tindakan pantas negeri menghulur bantuan.

Ribut yang melanda Beranang kira-kira 7 malam kelmarin mengakibatkan 96 kediaman penduduk terjejas membabitkan 370 mangsa.

Mereka terdiri dari Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sungai Jai, Taman PKNS Beranang dan Kampung Sesapan Batu Rembau.


Pengarang :