Ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melaungkan “Reformasi” ketika Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahun Cabang Wanita dan AMK Keadilan Negeri Selangor 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jiwai semangat perubahan, selamatkan bangsa, negara

PETALING JAYA, 21 SEPT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mahu ahli parti itu terus menjiwai semangat perubahan bagi menyelamatkan bangsa dan negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan semangat perjuangan dan idealisme reformasi harus kental tetap semarak di hati sanubari mereka.

“Saya ingin mengingatkan rakan-rakan bahawa semangat perjuangan, idealisme reformasi harus kental tetap semarak di hati sanubari kita.

“Kita lalui zaman yang penuh getir itu dengan ledakan suara reformasi.

“Saya harap rakan reformis awal dan anak-anak muda dapat terus menjiwai semangat perubahan untuk menyelamatkan bangsa dan negara,” katanya dalam rakaman ucapan pada sambutan Jubli Perak 25 tahun reformasi di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahun Cabang Wanita dan AMK Keadilan Negeri Selangor 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Perdana Menteri berkata Malaysia perlu kekal hidup sebagai negara yang bersatu dan memacu pertumbuhan menjadi negara yang maju dan cemerlang di rantau ini.

“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada saudara Amirudin Shari (Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor) yang jadikan acara ini sebagai acara untuk mengingat, menyantuni dan menghargai pejuang reformasi awal,” katanya.

Anwar kini dalam lawatan kerja ke New York, Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KEADILAN Selangor malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 ahli.


Pengarang :