Pengamal media bersama Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) meninjau Taman Mangrove Point, Klang ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Terokai keindahan hutan paya bakau Taman Mangrove Point, lokasi ekopelancongan terbaharu

KLANG, 21 SEPT: Orang ramai dapat menikmati pemandangan dan keindahan hutan paya bakau yang subur di  Taman Mangrove Point, Pelabuhan Klang.

Pegawai Khidmat Korporat (Komunikasi) Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Suhailah Shamsudin berkata setakat kelmarin, 2,000 individu direkodkan mengunjungi taman yang dibuka kepada umum sejak Mac tahun lalu.

“Taman Mangrove Point kini lokasi ekopelancongan terbaharu yang dipenuhi dengan keindahan flora dan fauna.

“Untuk terus memupuk kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar, mereka perlu datang dan mempelajari ekosistem hutan paya bakau,” katanya ditemui selepas lawatan bersama media anjuran kerjasama Tourism Selangor ke Sungai Klang.

Pegawai Khidmat Korporat (Komunikasi) Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Suhailah Shamsudin menunjukkan peta Taman Rekreasi Mangrove Point ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, beberapa agensi media dibawa menaiki bot penumpang menyelusuri Sungai Klang sejauh 30 kilometer dan melihat sendiri operasi Interceptor serta perangkap sampah.

Tambah beliau, pihaknya juga mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana agensi untuk menjalankan gotong-royong pembersihan Taman Mangrove Point.

“Setakat ini, setiap minggu ada pertubuhan atau sukarelawan menjalankan pembersihan sungai,” katanya.

Taman Mangrove Point yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam dilengkapi laluan pejalan kaki sepanjang satu kilometer membolehkan pengunjung menerokai keindahan hutan paya bakau di sepanjang Sungai Klang.

Pengamal media bersama Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) meninjau Taman Mangrove Point, Klang ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Lokasi yang dibangunkan menerusi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) diiktiraf Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dalam Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia menerusi kategori Analisis dan Kajian Landskap pada 2019.

Malah, LLSB juga bercadang membina jeti yang menghubungkan Taman Mangrove Point dengan Taman Awam Pangkalan Batu di sini bagi memberi nilai tambah kepada lokasi itu.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan taman yang dibangunkan dengan kos RM10 juta itu dilengkapi surau, tandas, kawasan perkhemahan dan riadah selain aktiviti memancing.


Pengarang :