Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) menyampaikan bantuan makanan asas kepada mangsa terjejas ribut di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Kajang pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI salur wang ihsan bantu ringan beban keluarga terjejas ribut

KAJANG, 21 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyalur bantuan wang ihsan bagi meringankan beban keluarga terjejas ribut di Beranang Selasa lalu.

Ketua tanggungjawab sosial korporat dan komunikasi korporatnya memaklumkan jumlah wang tunai itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Memang setiap kali bencana ada bantuan kewangan daripada pihak MBI. Saya sudah mengadakan perbincangan awal dengan unit pengurusan bencana bagaimana MBI boleh bantu daripada sudut sumbangan ihsan.

“Kita akan turut bersama Kerajaan Negeri membantu (keluarga terjejas),” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas meninjau keadaan mangsa terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang di sini semalam.

MBI sudah mengagih bantuan segera kepada mangsa di PPS meliputi 100 unit toto, tuala mandi (200 helai), air mineral (20 karton), mi segera (150 pek), roti (300 unit) dan biskut (150 pek) dengan peruntukan RM5,000.

Ahmad Azri menambah sumbangan diteruskan membabitkan 200 pek makanan ‘retort’ dan perkakas penjagaan diri (100 unit) selain berhasrat menyumbang kelengkapan sekolah kepada anak-anak.

Beliau juga menjanjikan peruntukan RM20,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sesapan Batu Rembau dan MPKK Kampung Sesapan Batu Minangkabau untuk baik pulih awal bumbung rumah beberapa penduduk.

Ribut yang melanda Beranang pada jam 7 malam itu mengakibatkan 96 kediaman penduduk terjejas membabitkan 370 mangsa.

Mereka terdiri dari Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sungai Jai, Taman PKNS Beranang dan Kampung Sesapan Batu Rembau.

Susulan itu, sebuah PPS diaktifkan yang menempatkan 43 mangsa daripada 10 keluarga dengan baki keluarga terjejas difahamkan menginap di rumah saudara-mara terdekat.


Pengarang :