Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor mohon dana, hasrat mahu meremajakan semula bandar lama

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan Selangor memohon dana daripada Kementerian Kewangan bagi membangunkan semula beberapa bandar lama yang suatu ketika dahulu pernah menjadi punca ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata dana berkenaan diperlukan bagi meremajakan bandar yang dibangunkan era 70 dan 80-an sekali gus menggabungkannya dengan kepesatan pembangunan bandar baharu di sekitarnya.

Dato’ Seri Amirudin menjelaskan usaha memberi nafas baharu kepada bandar lama seperti Petaling Jaya, Ampang, Gombak, Cheras serta Pandan membabitkan dasar dan memerlukan sokongan kewangan daripada kerajaan Persekutuan selain kebenaran daripada pemilik tanah berkaitan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Misalnya Petaling Jaya yang merupakan bandar satelit pertama di Malaysia. Sebahagian bandar itu dibangunkan pada 70-an dan ia sudah tidak serasi dengan keperluan semasa.

“Begitu juga PJ Old Town dengan di sana ada banyak kawasan yang akan tamat tempoh pajakan. Daripada segi nilai setiap lot pula lebih RM1 juta, jadi ini satu perkara kita perlu tangani.

“Jika ada dana dan kajian untuk menyegarkan semula bandar itu, ia satu perkara yang baik. Jika tiada (usaha meremajakan) ia akan menenggelamkan bandar ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong sempena Jelajah Belanjawan 2024 ke Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tiba bersama Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin menambah Selangor turut berhasrat menggabungkan empat bandar raya negeri ini sebagai ‘Kosmopolitan Lembah Klang’ atau ‘Metropolis Lembah Klang’.

“Ini akan dimulakan tahun depan supaya ia (empat bandar raya) jadi bandar raya mega (super city). Klang yang baru dinaik taraf (status Bandaraya) merupakan aset tambahan kita,” katanya.


Pengarang :