Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tiba bersama Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Belanjawan 2024 penanda aras bawa ekonomi negara ke landasan lebih baik

SHAH ALAM, 21 SEPT: Belanjawan 2024 yang akan dibentang kerajaan pada Oktober menjadi penanda aras untuk membawa ekonomi negara ke landasan lebih baik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata belanjawan itu juga akan mengemukakan pelan fiskal dan kewangan lebih jelas tahun depan demi kebaikan rakyat.

“Dalam tempoh sebulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bentang kerangka Ekonomi MADANI diikuti polisi tenaga boleh guna oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Tidak lama selepas itu, pelan hala tuju perindustrian negara dibentang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Walaupun perkara tersebut sudah dibentang, belanjawan ini akan menunjukkan pelan fiskal lebih jelas tahun depan.

“Apakah yang mampu dan boleh kerajaan laksanakan bersama demi memulih ekonomi negara. Kerajaan Negeri sudah pasti menantikan belanjawan ini,” katanya.

Beliau berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong ke Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Steven memaklumkan Kementerian Kewangan menerima 10,000 maklum balas Belanjawan 2024 melalui portal selain berinteraksi dengan 8,000 peserta secara bersemuka.

Menurutnya setiap maklum balas yang diterima daripada rakyat, penjawat awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan Kerajaan Negeri akan diteliti untuk pertimbangan.

“Apa yang dicadang amat penting dan kita tidak boleh janji 100 peratus maklum balas boleh dilaksanakan sebab kadangkala ada percanggahan daripada segi kepentingan.

“Setiap sektor ada keperluan berlainan, jadi kita akan beri pertimbangan setara kepada semua. Pasukan bajet akan buat perincian keutamaan dan fokus kerajaan sebagai panduan,” katanya.


Pengarang :