Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan dicadang tingkat peruntukan baik pulih, selenggara jalan persekutuan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan dicadang meningkatkan peruntukan tahunan bagi penyelenggaraan dan naik taraf jalan persekutuan negeri ini kepada RM800 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata dana daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) yang diperoleh sekitar RM400 hingga RM600 juta setiap tahun tidak cukup untuk menampung kos pembaikan jalan khususnya di kawasan perindustrian.

“Kita berdepan isu kualiti beberapa jalan persekutuan bermasalah dan peruntukan tahunan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) agak rendah terutama dalam mengurus jalan utama melibatkan kawasan perindustrian.

“Aduan paling besar biasanya datang dari Klang melibatkan jalan ke Pelabuhan Klang di Pulau Indah. Justeru kita minta peruntukan penyelenggaraan tahunan ditingkatkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong ke Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pada 21 Julai Amirudin memaklumkan pentadbiran negeri menerusi Infrasel berjaya menyelesaikan lebih 80 peratus masalah jalan raya rosak di Selangor menerusi turapan mega.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana di sembilan daerah meliputi jarak 94.9km, bermula Jun.

Projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).


Pengarang :