Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) melakukan simbolik perasmin Logo Baharu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah di Dewan Orkid Wisma PKPS pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Ada 20,000 tan metrik beras tempatan, bekalan cukup hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 21 SEPT: Bekalan beras putih tempatan di Selangor cukup untuk menampung keperluan penduduk sehingga akhir tahun, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan negeri memiliki baki bekalan 20,000 tan metrik sekali gus tiada keperluan untuk menggunakan stok penimbal iaitu simpanan jika sesuatu barangan di pasaran tidak cukup.

“Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri panggil Kawalselia Padi dan Beras Selangor (KSPDS), mereka laporkan kadar guna beras sekitar 45,500 tan untuk sebulan.

“Sehingga tempoh 19 September, kita masih ada baki separuh iaitu sekitar 20,000 tan metrik lagi dari kadar guna biasa. Maknanya, baki yang ada ini cukup sehingga Disember.

“KSPDS juga menyebut akhir September, kita akan ada bekalan tambahan melihat trend menuai padi di utara negeri, Insya-Allah bekalan beras cukup buat rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghargaan program Jualan Ehsan Rahmah dan pelancaran logo baharu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini hari ini.

Meminta orang ramai tidak membuat belian panik, Amirudin juga memberi jaminan tiada penetapan had pembelian beras tempatan dibuat untuk memenuhi keperluan enam juta penduduk negeri.

“Kita tidak mahu tambah tekanan kepada rakyat dengan meletakkan had pembelian kerana akan menimbulkan masalah seperti pasaran gelap.

“Tidak perlu belian panik kepada masyarakat di Selangor terutama tanpa sentuh stok penimbal serta kemasukan bekalan baru melalui pemulaan musim penuaian padi pada bulan ini,” katanya.

Amirudin menambah pentadbiran negeri melalui PKPS juga berusaha menambah bekalan beras di pasaran melalui inisiatif jualan beras jenama Ehsan melibatkan tujuh lokasi.

“PKPS akan membeli beras import dan dijual pada harga tempatan untuk mengurangkan beban rakyat dengan harga RM13/5kg serta RM26/10kg,” kata beliau.


Pengarang :