Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan jadikan Sekinchan sebagai contoh tanaman padi ke negeri lain

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan menggerakkan usaha meningkatkan produktiviti padi dengan menjadikan kaedah penanaman padi di Sekinchan sebagai contoh ke negeri lain.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata kapasiti pengeluaran beras di Selangor adalah 138,903.13 tan metrik setahun dengan keluasan tanaman sebanyak 18,061.53 hektar melibatkan seramai 6,871 pesawah.

“Saya dimaklumkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menggerakkan usaha meningkatkan produktiviti padi dengan menyebarluas kaedah penanaman padi di Sekinchan yang mempunyai pengeluaran lebih tinggi ke negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin menjelaskan India melarang pengeksportan beras varian bukan basmathi pada Julai lalu sehingga menyebabkan peningkatan harga beras import di negara ini.

Menurutnya tahap sara diri beras di seluruh negara adalah 62.6 peratus manakala baki diimport dari negara seperti Vietnam, Thailand, Pakistan, dan India.

“Kenaikan harga beras import mendorong rakyat beralih membeli beras putih tempatan. Antara faktor lain adalah pengeluaran padi merudum akibat cuaca dan penyakit.

“Pada 2021, Malaysia mengimport sebanyak 338,863 tan metrik, iaitu 13.13 peratus daripada keperluan beras tahunan sebanyak 2,580,000 tan metrik untuk menampung penggunaan seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Pada Julai, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui terdapat kekurangan bekalan beras tempatan disebabkan faktor cuaca.

Beliau berkata cuaca yang tidak sesuai merencatkan pertumbuhan padi sekaligus mengganggu penghasilan bekalan makanan ruji tersebut.

 


Pengarang :