SHAH ALAM, 21 SEPT: Orang ramai boleh melaporkan kekurangan stok beras di pasaran kepada unit Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) menerusi talian aduan yang dibuka 24 jam.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata unit berkenaan akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan bagi memastikan bekalan beras tidak terputus di lokasi aduan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/8-19-500x333.jpg.webp)
“Oleh itu saya seru kepada rakyat jangan membuat pembelian panik sebaliknya kalau ada kekurangan bekalan boleh laporkan kepada KSPDS.
“Kita akan hantar ke lokasi terbabit untuk elakkan kekurangan bekalan untuk memudahkan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Apresasi Jualan Ehsan Rahmah di Wisma PKPS di sini hari ini.
Amirudin memaklumkan, orang ramai boleh menghubungi KSPDS di talian 03-3289 8419 ataupun 017-223 0771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp.