Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan kepada mangsa ribut di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kota Damansara pada 21 September 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI hulur bantuan tunai, ringan beban mangsa ribut di Damansara

PETALING JAYA, 21 SEPT : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan RM15,250 kepada mangsa yang terjejas bencana ribut di Kota Damansara.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporatnya berkata daripada jumlah itu RM10,000 disumbangkan kepada badan pengurusan bersama Pangsapuri Gugusan Dahlia.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor manakala bakinya diberi kepada 21 peniaga di Seksyen 8 Kota Damansara di sini yang terjejas dalam kejadian ribut pada 28 Ogos lalu.

“Setiap peniaga menerima RM250, meski jumlahnya tidak besar, kita berharap dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima untuk meneruskan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa ribut di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kota Damansara di sini hari ini.

Sementara itu, wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim turut menghargai sumbangan MBI dan berharap ia memberi kelegaan kepada peniaga serta penghuni Pangsapuri Gugusan Dahlia.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan bersama pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semua peniaga di sini akan dipindahkan ke lokasi yang lebih strategik berhampiran sini.

“Pemindahan akan berlaku dalam masa terdekat, kita berharap mereka dapat berniaga secara lebih kondusif, selamat dan lebih ramai pelanggan,” katanya.

Salah seorang wakil penerima JMB Pangsapuri Gugusan Dahlia Baharudin Abd Hamid turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dengan bantuan tersebut.

“Banyak kediaman terjejas ketika kejadian ribut itu terutama tingkat atas bangunan agak teruk bumbung ditiup angin. Terima kasih bantuan ini sedikit sebanyak membantu kerja baik pulih,” jelasnya.


Pengarang :