Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meninjau sisa buih dan mengenal pasti risiko kemasukan bahan cemar ke sungai berhampiran di Pekan Dengkil pada 22 September 2023. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

LUAS: Sisa buih ditemui 300 meter dari Sungai Langat, tiada loji henti tugas

SHAH ALAM, 22 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima aduan berhubung penemuan sisa buih di pekan Dengkil kira-kira jam 9 pagi tadi.

Agensi itu memaklumkan kakitangannya bergegas ke lokasi bagi menyemak kawasan sekitar dan mengenal pasti risiko kemasukan bahan cemar ke sungai berhampiran.

“Jarak lokasi tersebut dengan Sungai Langat adalah 300 meter. Hasil semakan mendapati kesan buih tersebut bukan daripada sabun kerana ianya tidak berbau dan licin,” katanya di Facebook hari ini.

Justeru, LUAS mengesahkan tiada sebarang sisa buih masuk ke longkang atau sungai berdekatan sekaligus tiada pencemaran berpotensi menganggu Loji Rawatan Air (LRA).

“LUAS sentiasa siap siaga memastikan sebarang potensi dan risiko permasalahan kualiti air ditangani segera,” katanya.

Sisa buih yang ditemui di tepi jalan Pekan Dengkil yang terletak 300 meter dari Sungai Langat pada 22 September 2023. Foto Facebook LUAS

Pengarang :