Keadaan kenderaan mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

MB: Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali didedah tempoh terdekat

GOMBAK, 22 SEPT: Kerajaan Negeri akan mendedahkan hasil laporan teknikal tragedi tanah runtuh di Batang Kali kepada awam dalam tempoh tiga minggu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan oleh Kementerian Kerja Raya itu telah diserah kepada Kerajaan Negeri selepas ia dibentangkan di Kabinet baru-baru ini.

“Kita telah dimaklumkan bahawa Kabinet telah mendengar dan mendapat penjelasan berkenaan laporan tragedi Batang Kali.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri kita akan lihat balik, mungkin ambil masa selewat-lewatnya tiga minggu kerana ia libatkan proses nyah rahsia kerana laporan itu diklasifikasi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu beliau merasmikan majlis penyerahan projek naik taraf Jalan B23, Sungai Tua dan persimpangan Kampung Bendahara di Taman Selayang Mutiara di sini hari ini.

Amirudin berkata laporan teknikal tragedi tapak perkhemahan itu akan dibentang ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh terdekat sebelum dipamer di laman sesawang.

Menurutnya laporan itu dijangka mendedahkan punca tragedi tersebut berlaku dan laporan polis akan dibuat sekiranya ia mempunyai unsur mencurigakan.

“Saya belum baca lagi laporan itu. Tetapi saya rasa ia akan dedah punca kejadian. Kalau ada unsur untuk polis jalankan siasatan, mereka akan buat. Itu hak jabatan masing-masing,” katanya.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :