GOMBAK, 22 SEPT: Projek menaik taraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara Sungai Tua di sini, berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa perjalanan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek dengan kos RM25.5 juta itu turut mengatasi masalah banjir kilat di persimpangan Kampung Sungai Kertas yang sering menghantui penduduk.
“Kalau dahulu jalan sedia ada adalah satu lorong sehala, tetapi dengan siapnya projek ini jalan raya kini dilebarkan menjadi dua lorong sehala.
“Ia juga dapat menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan. Projek ini turut mempunyai komponen skop kerja untuk atasi masalah banjir,” katanya pada majlis perasmian penyerahan projek itu di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/P_MBNaikTarafJalanSungaiTua-7-500x333.jpg.webp)
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Lokman Nasir.
Amirudin menambah pembangunan projek itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memantapkan infrastruktur dan memberi kemudahan asas kepada rakyat.
Menurutnya projek naik taraf jalan raya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat sekali gus mewujudkan pembangunan sekitar dan peluang pekerjaan baharu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/P_MBNaikTarafJalanSungaiTua-9-500x333.jpg.webp)
“Kejayaannya harus diukur berdasarkan kesan dan impak pembangunan kepada rakyat. Setiap sen yang dibelanjakan perlu benar-benar memberi manfaat dan keselesaan kepada rakyat,” katanya.
Projek berkenaan dibangunkan pada 2018 dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan berikutan beberapa faktor, antaranya cabaran pandemik Covid-19.