Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar penerangan kakitangan AeroDarat berkenaan kenderaan penunda elektrik pesawat komersial yang pertama di Malaysia menggunakan alat kawalan jauh selepas merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar terajui industri aeroangkasa, pacu ekonomi negara, cipta peluang kerja

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri akan melaksanakan Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) bagi menjadi hab aeroangkasa global khususnya di rantau Asia Tenggara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan taman seluas 2,000 ekar di Sepang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan industri kejuruteraan aeroangkasa.

“Industri aeroangkasa mampu menjadi salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negara selain mencipta peluang kerja berkualiti.

“Menjelang 2030, saya percaya hampir 70 peratus industri penerbangan di Malaysia akan bertapak di Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Amirudin berkata berkata salah satu cita-cita Selangor adalah menerajui industri aeroangkasa yang distrategikan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor.

“Alhamdulillah aspirasi ini turut mendapat tempat dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030),” katanya.

Sebelum ini Amirudin berkata Kerajaan Negeri optimis program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor penerbangan.

Menerusinya Selangor bersedia menjadi pelopor penyedia tenaga kerja sektor berkenaan termasuk dalam bidang pengendalian pesawat dan kejuruteraan.

Selangor turut menganjurkan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 awal bulan lalu yang menerima lebih 20,000 pelawat, mengatasi angka dicatat tahun lepas.

Melalui SAS 2023 sebanyak 27 memorandum persefahaman (MoU), surat niat (LOI) dan surat penerimaan (LOA) dimeterai bersama pemain industri dengan potensi nilai transaksi RM700 juta.


Pengarang :