Satu PPS dibuka di daerah Kubang Pasu malam tadi, tempatkan 21 mangsa banjir daripada enam keluarga. Foto APM Kedah
AGENDANASIONAL

Satu PPS dibuka di Kedah, jumlah mangsa banjir tiga negeri kekal

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Kedah menjadi negeri keempat membuka pusat pemindahan sementara (PPS) manakala jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak dan Perak kekal setakat 9 pagi ini.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir di PPS di daerah Kubang Pasu yang dibuka 9 malam tadi meningkat kepada 61 orang daripada 18 keluarga pada pagi ini berbanding 21 orang malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun serta status semasa air banjir semakin meningkat susulan keadaan hujan renyai.

PPS SMK Changlun menempatkan mangsa dari Kampung Nangmah dan Kampung Paya Nong Mi di Mukim Temin selepas air mulai naik di kawasan kediaman mereka pada 8.50 malam akibat hujan renyai melebihi lapan jam di daerah berkenaan.

Di Perak, jumlah mangsa kekal dengan 38 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah di daerah Kerian yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Changkat Lobak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak masih ditutup kerana air masih belum surut.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir kekal dengan lapan orang daripada tiga keluarga dari Kampung Buluh Balui, Kampung Batu Danau serta Kampung Pandak di PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui.

Di Sabah pula, seramai 134 mangsa daripada 46 keluarga terjejas di Beaufort masih ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak Ahad lepas susulan banjir akibat hujan lebat berterusan.

– BERNAMA


Pengarang :