Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyerahkan surat pelantikan Value Champion Officer (VCO) bagi pemantapan pembudayaan nilai dalam perkhidmatan awam kepada Pegawai Perancang Bandar dan Desa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Hamzah Tajuddin ketika majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pegawai MBSA antara 15 individu dilantik Ikon Nilai Perkhidmatan Awam

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pegawai Perancang Bandar dan Desa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Hamzah Tajuddin antara 15 pegawai yang dilantik sebagai Ikon Nilai Perkhidmatan Awam (VCO) pada Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pengiktirafan itu bagi melestarikan pembudayaan nilai murni dalam perkhidmatan awam melalui teladan baik di organisasi.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berucap sempena majlis Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Intervensi pengamalan nilai dapat melahirkan penjawat awam yang profesional, berintegriti, mempunyai sahsiah dan beramanah dalam setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan.

“Dengan pelaksanaan inisiatif VCO ini, ia akan menjadi mekanisme penggerak dalam membudayakan amalan nilai yang dipadankan dengan Sistem Pengurusan Amalan Nilai,” katanya ketika berucap merasmikan majlis persidangan di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Selain Hamzah, 14 lagi individu dilantik sebagai ikon adalah dari Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Turut dilantik individu daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia dan tiga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang dan Majlis Bandaraya Seremban.

Pegawai Perancang Bandar dan Desa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Hamzah Tajuddin bercakap kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Hamzah menyifatkan pelantikan ikon sebagai satu pengiktirafan untuk dirinya terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jabatan dan MBSA.

“Ini merupakan perkara baharu tetapi sebagai penjawat awam, kakitangan MBSA bertugas mengikut peraturan dan etika kerja ditetapkan selain memberi berkhidmat lebih 100 peratus.

“Etika kerja yang baik dapat membantu kita memberi khidmat dan kepuasan kepada masyarakat. Sebagai ikon, MBSA akan menunjukkan teladan, etika kerja dan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Pegawai yang ditauliah sebagai ikon perlu memenuhi syarat pelantikan antaranya prestasi cemerlang dengan markah purata 85 peratus bagi tiga tahun terkini, berkhidmat lebih 10 tahun, melepasi tapisan tatatertib dan keutuhan serta mempunyai kualiti keperibadian yang baik.

Pelaksanaan penuh VCO yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah peringkat kebangsaan pada 29 Mac lalu mula dilaksana pada 2024.


Pengarang :