Anggota skuad Pantas MBSJ menerima tiga bot penyelamat untuk digunakan ketika kecemasan terutama bencana banjir. Serahan aset oleh Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar di ibu pejabat MBSJ pada 13 Mac 2022. Foto ihsan MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ siap siaga hadapi musim tengkujuh Oktober ini

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana ketika musim tengkujuh yang dijangka Oktober ini.

Datuk Bandarnya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya memberi tumpuan kepada persediaan sumber manusia, peruntukan kecemasan, aset logistik dan bekalan makanan.

“MBSJ sama seperti pihak berkuasa tempatan lain, kami memang menyediakan peruntukan kecemasan untuk menangani sebarang kemungkinan bencana pada masa akan datang.

“Buat masa ini kita ada 21 kontraktor bahagian landskap manakala masing-masing tujuh kontraktor banjir dan cerun untuk bersiap sedia sekiranya berlaku bencana di sekitar Subang Jaya,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MBSJ di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fauzi turut berkongsi statistik kes denggi di Subang Jaya yang merekodkan 5,936 kes iaitu peningkatan sebanyak 41.2 peratus berbanding 3,492 kes pada tempoh sama tahun lalu.

“Sebanyak lapan lokaliti wabak dikenalpasti pada minggu epid ke-38 namun terdapat sedikit penurunan tiga peratus pada minggu ini berbanding minggu lalu.

“Bagaimanapun, penduduk dinasihatkan meluangkan masa 10 minit seminggu sekali mencari dan memusnah tempat pembiakan aedes termasuk MBSJ bersama Pejabat Kesihatan Daerah turut melaksanakan kawalan wabak dan semburan kabus,” katanya.


Pengarang :