Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan peserta Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 peringkat 4 di Pekan Sabak, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

LTdL: MSN Selangor pantau trek laluan, pastikan saingan lancar

SHAH ALAM, 26 SEPT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memantau trek laluan bagi memastikan saingan peringkat kelapan acara perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) Sabtu ini lancar.

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi memaklumkan pemantauan pihaknya setakat ini mendapati semua laluan terlibat dari Setia Alam ke Kuala Lumpur dalam keadaan baik.

Beliau menjelaskan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan segera melaksanakan kerja tampalan jika mengesan laluan berlubang bagi menjamin keselamatan pelumba.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Persediaan dalam keadaan baik, kita tengok laluan (perlumbaan) insya-Allah tiada apa-apa masalah. Cuma kita kena pastikan tiada jalan berlubang terutama kawasan yang kerap dilalui kenderaan berat.

“Sekiranya ada (laluan berlubang), JKR akan bantu baiki. Malah pasukan mereka juga bergerak sejam awal daripada setiap perlumbaan untuk melihat mana-mana laluan berlubang,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Nizam juga meminta pengguna jalan raya peka dengan penutupan jalan terlibat sepanjang perlumbaan antaranya Setia Alam, Alam Budiman, Bukit Cherakah, Meru, Ijok dan Bukit Badong.

“Kita harap orang ramai ambil maklum penutupan jalan terlibat mulai jam 12 tengah hari Sabtu ini dan bersabar kerana jalan terbabit hanya ditutup sementara.

“Biasanya penutupan tidak mengambil masa lama, sekitar 10 ke 15 minit sahaja dan dibuka semula selepas semua pelumba melalui laluan terbabit,” katanya.

Peringkat kelapan yang juga peringkat akhir LTDL 2023 akan bermula jam 2.45 petang di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam dan berakhir di Kuala Lumpur meliputi perjalanan sejauh 156.5 km


Pengarang :