Sumber Grafik: Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC tentang tindakan tidak hormati semangat kesukanan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) menentang keras sebarang tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak.

Kelab itu mengambil maklum insiden pada suku akhir kedua Piala Malaysia antara Gergasi Merah Kuning dan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya baru-baru ini.

“Pihak kelab sedang meneliti dan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi sebarang siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelab itu juga akan mengemukakan laporan mutu pengadilan perlawanan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk pertimbangan sewajarnya.

“Pihak kelab percaya sebarang penjelasan perlu melalui saluran yang bersesuaian. Pihak kelab akan mengumukan tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Pada aksi 24 September, pemain import Selangor FC Yazan Al-Arab dilayang kad merah selepas dengan sengaja menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol Mohd Amir.

Tindakan tonggak pertahanan import kelahiran Russeifa, Jordan berusia 27 tahun itu susulan tidak berpuas hati terhadap mutu pengadilan.

Perlawanan timbal balik kedua menyaksikan juara 33 kali Piala Malaysia terpaksa akur apabila meraih keputusan seri 1-1 dan membuka laluan buat Terengganu ke Separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-1.

Kedua-dua pasukan dijadual bersaing sekali lagi pada Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 29 September.


Pengarang :