Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Hamid. Foto Facebook Polis Daerah Petaling Jaya
AGENDAJENAYAH

Sindiket curi kabel TM tumpas, empat anggota polis antara 13 ditahan

PETALING JAYA, 26 SEPT: Empat anggota polis antara 13 yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket curi kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan pentadbiran Ibu Sawat TM di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Hamid berkata empat anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di bawah kontinjen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu ditahan pada 11.30 malam, 19 September lepas.

Katanya, polis sebelum itu telah menerima laporan daripada TM berhubung kerosakan telefon dan data di lokasi kejadian dengan dua batang kabel bawah tanah sepanjang kira-kira 40 meter telah dipotong disyaki dicuri membabitkan anggaran kerugian RM100,000.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis daripada cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya dan Task Force Balai Polis Petaling Jaya menahan empat anggota berkenaan yang disyaki bersubahat dengan sindiket tersebut.

“Susulan penahanan itu, sembilan lagi lelaki termasuk seorang warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang keesokan harinya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dalam siri serbuan itu polis merampas dua kenderaan pelbagai guna, sebuah kereta jenis BMW, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger, sebuah kereta model Honda Civic, sebuah lori model Hino dan 11 telefon bimbit.

“Turut dirampas satu guni berisi gulungan wayar tembaga yang telah dibakar seberat 1.2 tan, buku hasil jual beli berserta resit, vest pantulan cahaya warna hijau dan sepasang besi penyangkut penutup longkang,” katanya.

Mohd Fakhrudin berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif mencuri kabel di sekitar daerah itu sejak awal tahun ini dan empat anggota polis terbabit dipercayai berperanan melancarkan kegiatan jenayah tersebut selain kemungkinan menerima bayaran dengan jumlah tertentu.

Katanya kesemua anggota yang sudah berkhidmat tujuh hingga 15 tahun itu, kini digantung kerja dan akan didakwa di mahkamah sekiranya siasatan mendapati mereka terlibat dengan sindiket itu.

“Sembilan suspek yang lain pula didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. Setakat ini, suspek mengaku terlibat dua kes kecurian kabel sekitar Petaling Jaya,” katanya.

Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek warga tempatan yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

— BERNAMA


Pengarang :