Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah DUN Bandar Baru Klang di Surau Al Falah, Klang pada 24 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan Ehsan Rahmah di empat pasar raya Segi Fresh esok

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung esok dengan kerjasama empat cawangan pasar raya Segi Fresh.

Cawangan terlibat ialah Saujana Utama, Jalan Kebun, Tanjong Karang dan Salak Tinggi untuk membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti.

“Kami bekerjasama dalam memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama berpendapatan rendah yang terkesan ekoran kenaikan kos sara hidup yang tinggi,” maklum Segi Fresh di Facebook.

Pada Julai, PKPS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

Pasar raya itu dilantik menjadi rakan strategik bagi melaksana program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis rangkaian Segi Fresh seluruh Selangor.

JER yang diperkenal tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.


Pengarang :