Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan mempengerusikan mesyuarat penuh MPK pada 27 September 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

Kaunter tambahan, van bergerak MPK mudahkan urusan orang ramai

SHAH ALAM, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuka kaunter van bergerak setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Oktober bagi memudahkan penduduk menjelaskan cukai taksiran.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata kaunter itu akan dibuka di Pangsapuri Bukit Raja 2, Bukit Raja pada 7 dan 8 Oktober dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Selain itu katanya, kaunter sama dibuka di Pangsapuri Seri Proton, Taman Maznah (14-15 Oktober) dan Amazing Height, Sungai Udang (28-29 Oktober).

“Orang awam juga boleh membuat semakan dan pembayaran cukai taksiran secara dalam talian dengan melayari ipay.mpklang.gov.my,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MPK hari ini.

Sementara itu, Noraini berkata orang ramai juga boleh memperbaharui lesen perniagaan, industri dan iklan 2024 secara dalam talian mulai 1 Oktober hingga 31 Disember ini menerusi ilesen.mpklang.gov.my.

Katanya lesen sementara perniagaan dan industri, perniagaan pemutihan, perniagaan berisiko, hiburan dan kilang tanpa kebenaran hanya boleh dibuat di kaunter MPK.

“Justeru, MPK akan membuka kaunter tambahan pada Sabtu dan Ahad di beberapa kompleks beli-belah sekitar Klang sepanjang November dan Disember ini dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Orang ramai yang ingin memperbaharui lesen diingatkan tidak membuat pembaharuan lesen pada saat-saat akhir. Denda akan dikenakan kepada mereka yang lewat mohon mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Berikut lokasi kaunter tambahan perbaharui lesen:

– AEON Bandar Baru Klang (4, 5, 25 dan 26 November)
– Lotus’s Store Bukit Tinggi (11 dan 12 November)
– Lion Klang Parade (18 dan 19 November)
– GM Klang Wholesale City (2, 3, 9 dan 10 Disember)
– Dewan Hamzah MPK jam 8.00 pagi – 4.30 petang (12 hingga 31 Disember)


Pengarang :