Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh di ibu pejabat MPSepang pada 30 Mac 2021. Foto MPSepang
PBTSELANGOR

MPSepang lulus RM249.8 juta laksana pelan 2024, tumpu tujuh strategi

SEPANG, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meluluskan perbelanjaan berjumlah RM249.8 juta tahun hadapan untuk merencana program dan pembangunan di daerah itu.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain menjelaskan jumlah tersebut selari ketetapan Kerajaan Negeri yang menumpukan beberapa aspek utama termasuk pembugaran ekonomi.

Beliau berkata belanjawan juga mengambil kira prestasi pencapaian pada 2022 dan separuh penggal pertama 2023 dalam memastikan dasar dan strategi MPSepang dilaksana sepenuhnya.

“Secara keseluruhan, MPSepang menyediakan bajet defisit tahun hadapan berjumlah RM249.8 juta bagi projek pembangunan dan pengurusan, dengan anggaran hasil sebanyak RM202 juta,” katanya.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat penuh di sini hari ini, Abd Hamid berkata pihaknya menumpukan tujuh strategi utama dalam menyediakan belanjawan inklusif.

Jelasnya, ia termasuk mempelbagai punca pendapatan melalui penambahan hasil baharu dan sedia ada, meneruskan perbelanjaan berhemah selain meningkatkan kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar.

“Kita juga meningkatkan kebolehcapaian pelanggan melalui penambahbaikan komunikasi teknologi maklumat, memperkasa program kemasyarakatan dan kebajikan serta meningkatkan inovasi teknologi hijau,” jelasnya.


Pengarang :