Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bergambar selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Selangor FC dan Kumpulan Khind Holdings Berhad di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 27 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Selangor FC-Khind jalin kerjasama strategik, kukuh tajaan pasukan

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) menjalin kerjasama strategik bersama syarikat pembekal alatan elektronik Khind Marketing Malaysia (Khind) untuk mengukuh penajaan.

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC berkata kerjasama termasuk membekalkan alatan elektrik berkualiti tinggi bagi menambah baik keperluan logistik dan fasiliti latihan pasukan.

Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan usaha sama itu juga membantu memperkuat pasukan bagi saingan musim hadapan selain berharap lebih banyak entiti korporat lain tampil memberi tajaan.

“Kita sudah memulakan perancangan untuk tahun hadapan dan kerjasama strategik ini merupakan langkah awal. Saingan musim hadapan sangat penting buat kami.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (belakang, kanan) berkenan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Khind Holdings Berhad Adil Jimmy Mistry di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 27 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya harap kerjasama ini juga jadi pemangkin untuk melihat pelbagai penaja dan pemegang taruh untuk menaja pasukan bola sepak supaya industri ini akan berkembang,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas memeterai perjanjian dengan syarikat itu, yang disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Pengerusi Khind Marketing Malaysia Cheng Ping Keat.

Menerusi kerjasama itu juga, Johan berkata logo jenama syarikat berkenaan akan dipaparkan pada jersi perlawanan dan latihan pasukan bola sepak Merah Kuning pada musim hadapan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Khind Holdings Berhad Adil Jimmy Mistry berkata kerjasama itu komitmen pihaknya membantu membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Kami akan menganjurkan kejohanan Liga Super Rimau tidak lama lagi yang memberi platform buat kanak-kanak menonjolkan bakat. Sesi interaksi bersama pemain Selangor FC turut akan diadakan.

“Matlamat kami untuk memberi pengalaman baik buat pengguna kami yang menjadikan bola sepak sebagai aktiviti sukan kegemaran mereka,” katanya.


Pengarang :