Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Balakong di balai raya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tanggung subsidi beras import, jual RM13 kampit lima kg

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri menanggung subsidi pembelian beras import sehingga akhir tahun ini bagi memastikan bekalan makanan ruji itu stabil.

EXCO pertanian berkata bekalan dibeli daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) sebelum dijual semula dengan harga RM13 untuk sekampit beras lima kilogram (kg) jenama Ehsan.

“Bernas bawa masuk beras import tapi kita jual ikut harga beras putih tempatan (BPT). Kita beli dengan harga RM17 untuk setiap lima kg tetapi kita jual RM13, maknanya kita tampung subsidi.

“Isu bekalan beras dijangka akan selesai dalam masa terdekat tetapi kita tetap sediakan beras subsidi ini,” kata Ir Izham Hashim selepas merasmikan Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 Selangor di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini.

Kerajaan menenetapkan harga siling bagi beras import adalah RM17 bagi berat lima kg, manakala RM13 bagi BPT dengan berat sama.

Beliau berkata bekalan beras di negeri ini juga dijangka semakin baik menjelang bulan hadapan apabila padi boleh dituai secara besar-besaran.

“Kementerian berkaitan memaklumkan bekalan akan bertambah baik dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi. Tetapi kita bersedia menanggung subsidi dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi demi manfaat rakyat Selangor,” katanya.

Orang ramai boleh membeli beras lima kilogram (kg) berharga RM13 di empat cawangan milik PKPS.

Beras jenama Ehsan dijual di Wisma PKPS (Seksyen 14 Shah Alam), Ehsan PKPS (Seksyen 9 Shah Alam), Ehsan PKPS (Jalan Muafakat 1, Taman Dato Bandar, Meru) dan Kiosk Ehsan (Selangor Fruit Valley).

Bermula 20 September, PKPS menawarkan bekalan 2,700 kampit beras lima kg di tujuh lokasi setiap hari termasuk tiga lokasi jualan bergerak, Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bekalan BPT di Selangor cukup untuk memenuhi keperluan penduduk sebanyak 45,500 tan metrik sebulan.

 


Pengarang :