Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Individu didakwa di mahkamah kerana biar rumah semak samun

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seorang individu dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat semalam kerana membiarkan semak samun di sekitar kediamannya dekat Taman Seri Putra, Banting.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan individu berusia lingkungan 30-an itu didakwa mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Orang Kena Saman (OKS) telah disabitkan dan didenda RM150 atau tiga hari penjara kerana membiarkan rumahnya di Taman Seri Putra, Banting semak samun.

“OKS telah membayar denda tersebut. Berdasarkan pertuduhan OKS telah membiarkan premis kediaman dalam keadaan tidak baik dan diliputi tumbuhan rimbun,” katanya di Facebook.

MPKL mengingatkan semua pihak supaya sentiasa memastikan kediaman dalam keadaan bersih dan teratur serta tidak menimbulkan kacau ganggu kepada jiran.

“MPKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan MPKL Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa Ahmad Razali Abdul Manaf.

 


Pengarang :