Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah (dua, kiri) melawat reruai rumah anak yatim pada program Hari Terbuka Rumah Anak Yatim Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide anjur program hari terbuka, dekatkan masyarakat dengan anak yatim

SHAH ALAM, 30 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menganjurkan program Hari Terbuka Rumah Anak Yatim Selangor sempena bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata program julung kali diadakan membabitkan 25 rumah kebajikan bertujuan mendekatkan masyarakat dengan anak-anak yatim.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah bercakap kepada Media Selangor pada program Hari Terbuka Rumah Anak Yatim Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada gambaran bahawa anak-anak yatim kurang berjaya dan berkemampuan, namun hari ini kita tonjolkan bahawa mereka ini juga berbakat serta berjaya termasuk ada yang mampu melanjutkan pengajian ke universiti.

“Menerusi program ini, pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya pameran mengikut kreativiti rumah kebajikan masing-masing dan masyarakat juga berpeluang memberi sumbangan untuk membantu anak yatim,” katanya ditemui selepas program tersebut di Kompleks PKNS hari ini.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali Abdullah (berdiri, tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pada program Hari Terbuka Rumah Anak Yatim Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINIMenerusi majlis itu, Nur Mohd Razali turut menyampaikan sumbangan RM40,000 kepada 40 anak-anak yatim yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, penerima sumbangan Adeebah Hani Azrol Syahzer, 19, berkata pemberian berkenaan meringankan beban ibunya yang menanggung empat lagi anak masih bersekolah.

Adeebah Hani Azrol Syahzer, 19. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ibu bekerja sebagai guru dan perlu menanggung adik-beradik yang masih bersekolah. Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapat bantu ibu.

“Saya bercadang untuk gunakan wang bantuan ini untuk membayar yuran pengajian pada semesta baharu nanti,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Amir Hariz Muhammad Yatim, 18, selain menyifatkan bantuan berkenaan tepat pada masanya kerana beliau memang memerlukan wang untuk menampung pengajian.

Amir Hariz Muhammad Yatim, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Banyak yang perlu dibayar dan apabila dapat bantuan ini dapat digunakan untuk menampung keperluan harian termasuk kos makan minum,” katanya.

Dalam program sama, anak yatim dari 25 rumah kebajikan turut mengambil bahagian menjual produk mereka seperti makanan dan tanjak kepada pengunjung.

Anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Islam dan Miskin Daerah Sabak Bernam menunjukkan produk mereka pada program Hari Terbuka Rumah Anak Yatim Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :