Pemandangan bangunan pencakar langit Menara KLCC (tengah) dan sekitarnya kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda ketika tinjauan pada 19 April 2023. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Jerebu: ADN syor tangguh sementara aktiviti luar bilik darjah

SHAH ALAM, 3 OKT: Aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguh sementara berikutan kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan yang yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan pelajar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga juga mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan pembelajaran dalam talian atau penangguhan kelas jika keadaan memburuk.

“Keadaan udara tidak sihat boleh memberi kesan serius kepada kesihatan pelajar, terutama apabila mereka terdedah kepada tahap pencemaran udara yang tinggi.

“KPM perlu mengambil tindakan proaktif dan berhati-hati berkaitan kesihatan pelajar, terutama dalam konteks persekitaran pembelajaran di sekolah,” kata Danial Al-Rashid Haron dalam kenyataan.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al Rashid Haron. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menambah KPM perlu bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi mendapatkan data terkini berhubung kualiti udara di kawasan terjejas untuk membuat keputusan.

Menurut Danial, kementerian juga perlu mengeluarkan panduan kepada sekolah dan pihak berkepentingan berhubung langkah yang wajar diambil apabila kualiti udara tidak sihat.

“Kementerian perlu menjalankan komunikasi berkesan dengan ibu bapa untuk memberi maklumat jelas tentang situasi kualiti udara dan langkah yang diambil untuk melindungi pelajar,” katanya lagi.

Mei lalu, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran jerebu lebih serius di rantau selatan Asean antara Jun dan Oktober tahun ini berikutan kemarau berpanjangan.


Pengarang :