Ruang solat bawah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir. Tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Masjid, surau di Selangor jadi pusat pemindahan jika bah hujung tahun

SHAH ALAM, 3 OKT: Semua masjid dan surau di negeri ini akan berperanan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi situasi luar jangka termasuk banjir berikutan peralihan monsun.

Menerusi surat edaran, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta pentadbir masjid dan surau peka terhadap maklumat perubahan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dato’ Shahzihan Ahmad menjelaskan kawasan masjid, ruang solat, ruang limpah, tandas dan bekalan air juga perlu mencukupi bagi menghadapi situasi sukar atau luar biasa dalam tempoh tersebut.

Beliau turut meminta pentadbir menyalurkan dan memudah cara apa-apa bentuk bantuan kepada anak kariah tanpa mengira ras dan agama seawal kejadian buruk, semasa dan selepasnya.

“(Pentadbir perlu) sentiasa mengingatkan jemaah dan ahli kariah untuk memastikan kebersihan longkang dan perparitan agar tidak mengganggu kelancaran aliran air semasa musim hujan.

“Aktiviti seperti gotong-royong juga hendaklah dibuat oleh pihak masiid dan surau dengan lebih kerap melalui siaran dan peringatan pada Jumaat,” katanya menerusi surat itu.

Peralihan Monsun Timur Laut mulai bulan ini hingga Disember mengakibatkan purata hujan lebih tinggi sehingga menyebabkan banjir, ribut dan merosakkan struktur tidak kukuh.

Fasa tersebut diramal menjejaskan beberapa negeri pantai barat Semenanjung termasuk Selangor.


Pengarang :