Pemandangan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu pada 2 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

KPM: Henti aktiviti luar bilik darjah jika bacaan IPU lebih 100

SHAH ALAM, 3 OKT: Pihak sekolah harus menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 100, maklum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Berdasarkan garis panduan dikeluarkan hari ini, kementerian turut menyaran supaya aktiviti keramaian atau sukan luar bangunan ditangguh demi menjamin kesihatan murid dan warga sekolah.

KPM menjelaskan semua sekolah berada dalam kawasan atau daerah mencatat bacaan IPU lebih 200 pula perlu ditutup serta-merta, dengan pembukaan semula bergantung kepada bacaan bawah angka itu.

“Jika trend bacaan menunjukkan pengurangan IPU bawah 200, tindakan bolehlah diambil sebagai persediaan untuk pembukaan semula sekolah,” menurut garis panduan dikongsikan di Facebook.

KPM memaklumkan pengetua atau guru besar perlu memastikan guru membuat tugasan sewajarnya di sekolah ketika sekolah ditutup jika guru tidak diberi cuti.

Bagaimanapun, kementerian menjelaskan sekiranya bacaan IPU melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.

“Pihak sekolah hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena jerebu di kawasan atau daerah masing-masing supaya mudah untuk mengambil tindakan,” katanya.

KPM juga menasihati pelajar memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap, manakala ibu bapa yang bimbang kesihatan anak dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah tetapi perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah.

“Pihak sekolah hendaklah merujuk murid yang didapati tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera. Semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam hendaklah diteruskan,” katanya.


Pengarang :