SUBANG JAYA, 3 OKT: Orang ramai dinasihat tidak membuat pembelian panik susulan kekurangan bekalan beras yang berlaku ketika ini.
EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata berdasarkan laporan semasa, bekalan beras di Selangor mencukupi dan dijual pada harga kawalan.
“Bila rakyat cemas, mereka ramai-ramai memborong sebab takut bekalan tak ada. Ini akan menyebabkan krisis beras sukar ditangani.
“Jadi kita minta rakyat supaya percaya bekalan beras ada. Hanya beli mengikut keperluan sahaja,” katanya ketika sesi wawancara bersama Media Selangor hari ini.
Beliau turut meminta masyarakat melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat premis kedai menyorokkan beras atau menjual pada harga tinggi.
“Kita nak pantau situasi ini. Jadi perlukan kerjasama masyarakat. Kalau ada perkara yang tak betul, boleh terus buat aduan,” katanya.
Semalam menteri pertanian keterjaminan makanan berkata pembelian panik melebihi keperluan bulanan selain penggunaan beras putih import kepada tempatan menjadi punca bekalan sumber makanan rutin itu terjejas di pasaran.
Justeru Datuk Seri Mohamad Sabu menasihati orang ramai supaya membeli beras mengikut keperluan bulanan keluarga dan tidak menyimpan stok.