Orang ramai berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah di Segi Fresh setiap minggu mulai 7 Oktober

SHAH ALAM, 4 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berlangsung di empat cawangan pasar raya Segi Fresh setiap minggu mulai Sabtu ini.

Pada Sabtu, lokasi terlibat ialah Subang, Kayu Ara, Sungai Udang dan Bandar Teknologi Kajang manakala Batu Caves, Jalan Kebun, Bandar Tasik Puteri dan Jernang Jaya pada Ahad, 8 Oktober.

Jualan murah barangan asas itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya berkenaan menerusi Facebook memaklumkan inisiatif tersebut diteruskan untuk lebih mendekati komuniti dengan menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau sekitar pasar raya selepas melancarkan Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh di cawangan Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Dapatkan baran keperluan asas dengan harga terbaik dan berbaloi mulai 7 Oktober,” kata Segi Fresh.

Baru-baru ini, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau program jualan murah tersebut di Segi Fresh cawangan Teluk Panglima Garang.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis rangkaian Segi Fresh seluruh Selangor.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.

Berikut tarikh dan lokasi program JER di pasar raya Segi Fresh:

  • 7 Oktober 2023 – Subang, Kayu Ara, Sungai Udang dan Bandar Teknologi Kajang
  • 8 Oktober 2023 – Batu Caves, Jalan Kebun, Bandar Tasik Puteri dan Jernang Jaya
  • 14 Oktober 2023 – Saujana Utama, Sungai Besar, Batang Kali dan Pulau Indah
  • 15 Oktober 2023 – Tanjung Karang, Kuala Kubu Bharu dan Ara Damansara
  • 21 Oktober 2023 – Telok Panglima Garang, Kayu Ara, Pekan Salak dan Pandamaran
  • 22 Oktober 2023 – Jalan Kebun, Gombak, Kajang dan Antara Gapi
  • 27 Oktober 2023 – Telok Panglima Garang, Sungai Udang, Sungai Besar dan Tanjung Karang
  • 28 Oktober 2023 – Saujana Utama, Bandar Tasik Puteri, Kuala Kubu Bharu dan Salak Tinggi
  • 29 Oktober 2023 – Subang, Ara Damansara dan Setia Mayuri

 


Pengarang :