Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kelengkapan mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi bencana selepas menghadiri program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Depani banjir, Selangor sedia 10,000 pek bantuan keperluan asas

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak 10,000 pek bantuan keperluan asas banjir disediakan sebagai kelengkapan mendepani peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku hingga Februari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu lebih sekali ganda bilangan mangsa bencana pada 2021 berikutan kebimbangan sekiranya banjir kali ini melibatkan kawasan lebih luas.

“Ini berdasarkan pengalaman lepas bersiap siaga untuk berdepan dengan jumlah mangsa banjir sekitar 5,000 orang dan saya arahkan supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sediakan sekali ganda.

“Kita bimbang banjir berlaku seperti 2021, ada lebihan mangsa disebabkan kawasan besar (banjir). Sekarang bekalan bantuan ini diurus JKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata keperluan lain terutama aset seperti bot juga dalam keadaan baik dan boleh digunakan bila-bila masa selain pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) sentiasa bersiap siaga untuk diturunkan.

Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut menjalani latihan simulasi sebagai persediaan berdepan situasi sebenar sekali gus menjamin kelancaran operasi menyelamat.

“Bomba, tentera serta Angkatan Pertahanan Awam juga diarah menyediakan aset-aset dalam keadaan baik manakala PBT juga sudah membeli bot tahun lepas.

“Pusat media akan dibuka di SUK (bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri) atau tempat ditetapkan bagi menyampaikan maklumat semasa,” katanya.


Pengarang :